suria

MIC: Presiden, Timbalan Perlu Hadir Bersama Ke ROS

G.Palanivel.
PUTRAJAYA: Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bersama timbalannya Datuk Seri Dr S.Subramaniam bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu pemilihan parti itu, kata Naib Presiden MIC Datuk M.Saravanan. 

Beliau berkata isu pemilihan parti itu, yang jika tidak ditangani berisiko mengakibatkan MIC dibubarkan, adalah masalah parti dan bukan bersifat peribadi.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan ROS di sini Isnin, Saravanan berkata beliau kesal kerana Palanivel memungkiri janji untuk hadir ke ROS bersama timbalannya bagi mendapatkan penjelasan.

"Saya minta Presiden berubah sikit. Go with your deputy. Lupakanlah segala-galanya. Kita mula chapter baharu," katanya.

Pada 5 Disember lepas, ROS mengisytiharkan pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC serta beberapa pemilihan bahagian sebagai tidak sah kerana terdapat penyelewengan dan menasihati MIC tidak mengadakan perhimpunan agung tahunannya sehingga isu itu diselesaikan.

ROS juga mengarahkan supaya pemilihan semula bagi jawatan berkenaan diadakan dalam tempoh 90 hari.

Saravanan berkata beliau mendapat maklumat bahawa Palanivel hadir ke ROS bersama seorang peguam yang dikenali sebagai 'Chandra'.

"Saya tidak tahu siapa peguam Chandra ini dan macam mana dia dapat mandat (untuk datang ke ROS bersama Presiden MIC). Kalau peguam itu datang sebagai kawan, tidak ada masalah.

"Kalau dia datang sebagai peguam dia melakukan kesilapan kerana tidak ada mandat daripada parti untuk dia berbuat demikian," katanya.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata MIC tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat.

Ini kerana bekas Setiausaha Agung MIC, Prakash Rao sudah menghantar surat pada ROS pada 2 Januari memohon lanjutkan tempoh 60 hingga 120 hari untuk menyelesaikan masalah berkenaan, katanya. 

G.Palanivel, MIC, ROS

Artikel Lain