suria

AirAsia Indonesia Rancang Tamatkan Kod Penerbangan 8501

Sunu (kanan) berbincang sesuatu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya pada Ahad.
SURABAYA: AirAsia Indonesia sedang merancang untuk menamatkan kod penerbangan QZ8501 berikutan kehilangan pesawat tersebut yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada pagi Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sunu Widyatmoko berkata, bagaimanapun proses tersebut mungkin mengambil sedikit masa sebelum dilaksanakan.

"Kami mengemukakan cadangan tersebut ke ibu pejabat, tapi kami masih menunggu kelulusan dan penyelarasan dari ibu pejabat," katanya.

Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dilaporkan hilang dari radar selepas 42 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya menuju ke Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Pesawat jenis Airbus A320-200 itu berada di ruang udara Indonesia ketika hilang dari radar.

Seorang rakyat Malaysia antara 155 penumpang yang disahkan berada dalam pesawat tersebut manakala 149 lagi warga Indonesia, tiga Korea Selatan manakala masing-masing seorang warga Singapura dan Britain.

Sunu berkata walaupun mereka masih trauma, syarikat penerbangan tambang rendah itu akan terus memberi sokongan kepada waris mangsa yang terlibat.

"Fokus kami dari AirAsia kini adalah untuk membantu waris mangsa dalam menghadapi detik sukar ini," katanya.



QZ8501, Sunu Widyatmoko

Artikel Lain