suria

Seorang Maut, Dua Parah Dalam Kemalangan Trak Tentera

Pegawai perubatan memberikan rawatan kepada anggota tentera yang mengalami kecederaan.

KOTA KINABALU: Seorang anggota tentera maut dan dua lagi cedera parah apabila sebuah trak yang membawa 23 tentera terbabas ke dalam parit di Lahad Datu, pantai timur Sabah pada Sabtu.

Anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Koperal Mohd Farouk Baha disahkan meninggal dunia selepas beliau dibawa ke Hospital Lahad Datu selepas kemalangan yang berlaku di Kampung Biuang pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

Salah seorang daripada dua tentera yang cedera dalam keadaan kritikal manakala seorang lagi dalam keadaan parah tetapi stabil.

Anggota tentera yang lain mengalami cedera ringan diberikan rawatan pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan insiden itu.

Beliau berkata, pemandu trak dipercayai hilang kawalan mengakibatkan kenderaan yang membawa sekumpulan tentera terbabas dan siasatan mengenai punca kejadian sedang dijalankan.

Trak berkenaan merupakan salah satu daripada tiga kenderaan yang melakukan konvoi dari Kem Cenderawasih di Tunku, dalam perjalanan ke Sandakan untuk menjalankan rondaan keselamatan ketika kemalangan berlaku.

Difahamkan pemandu trak berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan ia terbabas ke dalam parit dan terbalik.

Pemandu trak dan dua tentera berada di bahagian tempat duduk hadapan manakala 20 lagi duduk di bahagian belakang.

Artikel Lain