suria

Pasukan Khas Awasi Mangsa Rumpai Miang Mexico Akan Ditubuh

Rumpai miang Mexico.

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Pahang akan menubuhkan satu pasukan khas sekiranya ada kes mangsa yang terdedah kepada rumpai miang Mexico dirujuk di mana-mana pusat kesihatan atau hospital di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, walaupun belum ada laporan diterima berhubung kes itu tetapi pihak Jabatan Kesihatan negeri telahpun mengambil langkah-langkah perlu berikutan tumbuhan itu dikesan di tiga buah daerah di negeri ini.

"Pihak jabatan telah mengambil tindakan awal termasuk memberi penerangan kepada penduduk agar mereka sedar bahawa rumpai miang Mexico ini sangat berbahaya dan boleh memberi kesan teruk bukan sahaja kepada ekosistem semula jadi, tetapi juga manusia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat klinik statik di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan di sini, Sabtu.

Dalam masa yang sama, katanya beliau yakin jabatan yang berkenaan termasuk Jabatan Pertanian negeri juga akan mengambil langkah memusnahkan tumbuhan itu untuk mengelakkan ia memudaratkan orang ramai.

Beliau berkata, tumbuhan dengan nama saintifiknya 'Parthenium Hysterophorus' telah mula dikesan tumbuh di beberapa kawasan di daerah Bentong, Jerantut dan Raub.

Dalam perkembangan lain katanya, klinik statik yang dibuka di pusat pemindahan banjir di negeri ini dilihat mampu memberikan kemudahan pemeriksaan dan perubatan secara efisyen kepada mangsa banjir termasuk ibu mengandung dan pesakit kronik.

Dalam masa yang sama, katanya pihak jabatan menerusi bahagian yang dipertanggungjawabkan turut melakukan semburan membasmi lalat dan nyamuk bagi memastikan semua pusat pemindahan bebas serangga pembawa penyakit itu.

Selain itu katanya, pihaknya juga mengadakan taklimat dan mengedar risalah tentang risiko penyakit ketika musim banjir ini sebagai panduan kepada mangsa.

Artikel Lain