suria

Banjir Tidak Jejas Barang Keperluan Asas Di Kelantan - Hasan Malek

Seorang ibu mendukung anaknya ketika meredah banjir di hadapan rumahnya di Penduduk Mukim Jongbakar Darat dekat Tumpat, Sabtu. Foto BERNAMA

TUMPAT: Bekalan barangan keperluan asas untuk penduduk di Kelantan masih mencukupi walaupun negeri berkenaan kini dilanda banjir teruk, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata sebelum ini, kementerian mengadakan siri pertemuan dengan pihak terlibat seperti pengeluar, pemborong dan peruncit yang memberi jaminan bekalan keperluan asas tidak akan terjejas.

"Melalui komitmen ini saya dijanjikan soal barangan keperluan, minyak mencukupi.

"Saya turut berjumpa dengan pihak seperti pengusaha pasar raya dan mereka bersetuju memberi bantuan makanan yang akan disalurkan ke pusat-pusat pemindahan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Francais Komuniti Pengkalan Kubor 2014 di sini, Sabtu.

Keadaan banjir di Kelantan semakin teruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 19,715 orang tengah hari ini, berbanding 18,812 orang pada sebelah pagi.

Empat kematian akibat banjir direkodkan, masing-masing di Tanah Merah, Tumpat, Kuala Krai dan Kota Baharu sejak negeri ini dilanda banjir gelombang kedua bermula 16 Disember lepas.

Sementara itu, Hasan menggesa pengguna membuat laporan yang tepat sekiranya mendapati ada peniaga sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga barang agar tindakan boleh diambil terhadap mereka.

"Kalau betul (berlaku kenaikan harga mencurigakan) tampil buat aduan. Apa kedai, apa barang. Maklumat ini kena tepat...dan kita akan hantar pegawai ke tempat berkenaan untuk buat siasatan.

"Kalau dia (peniaga) menyalahi peraturan serta akta-akta berkaitan perniagaan, kita tidak akan tolak ansur dan ambil tindakan tegas," katanya.

Hasan berkata, kementerian juga kini dalam perancangan untuk mengkaji mekanisme yang bersesuaian bagi merealisasikan skim harga siling bagi barangan asas ketika musim banjir.

Artikel Lain