suria

Najib Mahu Harimau Malaya Berjuang Dengan Penuh Semangat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan keyakinan skuad Harimau Malaya mampu menjulang Piala AFF Suzuki 2014 dalam aksi menentang Thailand malam Sabtu.

"Saya percaya pasukan Harimau Malaya mempunyai kebolehan untuk memenangi Piala AFF Suzuki 2014. Mainlah dengan penuh semangat.

"Rakyat Malaysia berdoa semoga pasukan Malaysia mencapai kejayaan menebus kekalahan di Bangkok baru-baru ini dan membawa satu permainan yang cukup hebat dan cemerlang...Insya-Allah," katanya.

Najib berkata demikian menerusi klip video bertajuk 'Kata-kata semangat Perdana Menteri kepada pasukan Harimau Malaya Akhir Piala AFF Suzuki 2014' yang dimuat naik di laman YouTube. 

Malaysia bertemu Thailand dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Sabtu bermula 8 malam.

Malaysia tewas 0-2 kepada pasukan negara jiran itu dalam pertemuan akhir pertama di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, Rabu lepas. 

Skuad Harimau Malaya beraksi di final kali ketiga dalam kejohanan edisi 2014 selepas 1996 dan 2010.

Malaysia muncul juara kali pertama dalam edisi 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain