suria

Tak Pasti Wang Tebusan Dibayar Atau Tidak - Bekas Tahanan Abu Sayyaf

KOTA KINABALU: Penternak ikan, Chan Sai Chuin mendakwa dia tidak pasti sama ada wang tebusan dibayar bagi membebaskannya selepas 177 hari dalam tahanan kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Ini adalah kenyataannya yang pertama sejak dibebaskan 10 hari lalu.

Menurut Sai Chuin lagi, dia diberitahu tiada wang dibayar kepada penculiknya.

Sumber bagaimanapun memberitahu, sejumlah 10 juta peso (RM780,000) dibayar kepada penculiknya di Pulau Jolo.

"Saya tidak tahu akan dibebaskan sehingga tiga lelaki datang dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis Sabah yang ditugaskan untuk membawa saya pulang," katanya.

Sai Chuin berkata, ketika ketiga-tiga pegawai polis itu menemuinya, dia sedang baring dalam sebuah pondok dengan kaki dirantai.

"Tiada penculik ketika itu dan lelaki ini (polis) mempunyai kunci untuk membuka rantai pada kaki saya, jadi tanpa bertanyakan lebih lanjut saya terus mengikut mereka," katanya sambil menambah tiada seorang pun penculik ketika di mengikut anggota polis berkenaan ke jeti pulau itu.

"Apa yang penting bagi saya ketika itu adalah untuk pulang dengan selamatnya dan kerana itu juga saya tidak bertanya apa-apa," katanya.

Hanya selepas hampir sejam berjalan dalam hutan, Sai Chuin tiba di jeti di mana mereka menaiki bot laju dan tiba di Sandakan kira-kira pukul 7 pagi pada 10 Disember.

"Ketika itu barulah saya sedar bahawa saya sudah bebas. Saya dapat lihat wajah isteri yang meluru ke arah saya," katanya.

Sai Chuin juga menjelaskan, dia tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang dalam tahanan itu dan berterima kasih kepada isterinya yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan bantuan bagi membebaskannya.

Pasangan itu juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pusat, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Hamid Badur, Cawangan Khas Sabah, polis Kunak dan semua pihak yang membantu kes berkenaan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain