suria

Militan: Bekas Jurulatih PLKN Ditahan

Khalid Abu Bakar.
KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja krisis tebusan di Australia berakhir, Bukit Aman berjaya menahan bekas jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS). 

Sumber mendedahkan suspek yang berasal dari Terengganu itu telah ditugaskan oleh kumpulan militan tempatan untuk membuka laluan baharu untuk memudahkan pengikut mereka bergerak ke Syria. 

"Pihak berkuasa percaya suspek mahu menggunakan salah satu negara di Asia Tenggara sebagai transit untuk militan Malaysia sebelum mereka berlepas ke Syria. 

"Langkah ini dilihat sebagai salah taktik baharu yang digunakan untuk mengelakkan diri daripada dikesan selepas pihak polis berjaya menahan beberapa pengikut kumpulan militan tersebut pada tahun ini," kata sumber tersebut. 

Selepas mengadakan pengawasan yang ketat, anggota Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman telah menunggu untuk suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan suspek berjaya ditahan pada pukul 5.30 pagi semalam. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata suspek telah merancang untuk menaiki pesawat ke Turki. 

"Suspek telah merancang untuk ke Syria melalui Turki. Kami percaya dia dalam perjalanan untuk menyertai kumpulan militan IS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di sini pada Rabu. 

Mengulas mengenai kejayaan anggota Bahagian Counter Terrorism, Ketua Polis Negara berkata Bukit Aman akan sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi kemungkinan terhadap sebarang ancaman kepada negara. 

Berhubung penahanan tujuh orang militan warga Indonesia baru-baru ini, Khalid berkata mereka telah menjalin kerjasama dengan rakan sejawat di Malaysia. 

"Adalah menjadi kebiasaan kedua-dua negara berkongsi maklumat mengenai militan yang terdapat di rantau ini, kumpulan militan ini juga mempunyai rangkaian mereka di di Indonesia, Malaysia dan selatan Filipina. 

"Justeru, kita memerlukan lebih banyak peralatan, terutamanya untuk mencadangkan akta anti-keganasan, untuk menentang kumpulan militan ini," katanya. 

Beliau berkata pada ketika ini pihak polis masih memburu lima lagi suspek militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan IS, kumpulan Abu Sayyaf, yang berpangkalan di selatan Filipina. 

Antara mereka yang dicari ialah, bekas pensyarah Dr Mahmud Ahmad (yang juga dikenali sebagai Abu Handzalah) dan pemilik kedai serbaneka, Mohd Najib Husen, kedua-dua berusia 36 tahun. 

Mereka dipercayai merupakan ketua kumpulan militan yang melatih dan menghantar ahlinya untuk berjuang di Syria dan Iraq. 

Turut menjadi buruan pihak polis ialah bekas pekerja Majlis Perbandaran Selayang, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39 yang lebih dikenali sebagai Abu Nur. 

Serta dua lagi suspek yang turut dikehendaki adalah, ahli Darul Islam Sabah, Mohd Amin Baco, 31 dan Jeknal Adil, 30. 

Bukit Aman percaya mereka dapat menjejaki penjawat awam lain yang didakwa berkomplot dengan kumpulan militan tempatan yang menyokong IS dan sumber tersebut mendedahkan penglibatan mereka 'sangat serius'. 

Sejak Februari tahun lalu, Bahagian Counter Terrorism telah menahan seramai 49 suspek militan. 

Seramai 20 orang mereka telah dihadapkan ke mahkamah, termasuk tiga ahli kumpulan Tandzim al-Qaeda yang diketuai oleh Yazid Sufaat, yang merupakan individu pertama di tahan di bawah Akta Kesalahan Kesalamatan (Langkah-Langkah Khas) Sosma 2012 selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri dimansuhkan.

Kumpulan IS, Abu Sayyaf, militan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Hikmah Tersadai Di Jumum

Artikel Lain