suria

Label 'Tanpa Minyak Sawit' Bagi Produk Makanan Tidak Adil - Uggah

KUALA LUMPUR: Label kempen 'Tiada Minyak Sawit' bagi pelbagai produk makanan di Perancis dan Belgium adalah berat sebelah, tidak adil dan tidak berasas, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Douglas Uggah Embas. 

Bercakap pada Persidangan Minyak Sawit Eropah (EPOC) 2014 di Brussels, Belgium, hari ini, Uggah berkata pihak berkuasa harus menamatkan trend pelabelan itu kerana ia memberi persepsi negatif kepada minyak sawit. 

"Kami berdepan pesaing yang kadang-kadang menggunakan pelbagai langkah hanya semata-mata untuk mempertahankan produk minyak bijian tempatan mereka sendiri. 

"Justeru itu kami merayu pihak berkuasa untuk menghentikan bentuk pelabelan seperti ini," katanya dalam ucap tama beliau di EPOC 2014, yang bertemakan 'Minyak Sawit:Cabaran Pemakanan dan Kelestarian'.

Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini, Selasa.

Uggah mengetuai Misi Penggalakan Kayu dan Minyak Sawit ke Belanda dan Belgium dari 8-10 Disember, 2014.

Beliau berkata Peraturan Maklumat Makanan (FIR) yang mensyaratkan produk di Kesatuan Eropah melabelkan minyak sayuran tertentu tidak seharusnya digunakan untuk memburuk-burukkan minyak sawit. 

"Kami tidak ada masalah dengan FIR, asalkan ia dipraktikkan dalam bentuk pelabelan positif," katanya. 

FIR berkuat kuasa di seluruh EU pada 13 Disember, 2014.

Selain trend pelabelan, Malaysia juga mengambil berat tentang dakwaan bahawa minyak sawit membawa kesan negatif terhadap kesihatan pengguna. 

"Penyelidikan kami menunjukkan bahawa minyak sawit memiliki keseimbangan yang sama bagi asid lemak tepu dan tidak tepu, yang menyediakan kestabilan oksidatif tinggi bagi minyak tersebut serta fungsi unik yang diperlukan dalam perumusan banyak makanan dan produk," kata Uggah. 

Beliau berkata minyak sawit Malaysia juga tidak memusnahkan alam sekitar seperti yang didakwa.

"Kami sebenarnya mengeksport minyak sawit diperakui lestari ke Eropah dan pengeluar produk kami telah mengguna pakai inisiatif di bawah persijilan Persidangan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO)," katanya. 

EU menyumbang 15.1 peratus daripada eksport global minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia dan rantau itu merupakan destinasi eksport kedua terbesar pada 2013 selepas China.

Artikel Lain