suria

Kaji Semula Garis Panduan Pembinaan Pangsapuri Perkhidmatan

JOHOR BAHARU: Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa supaya mengkaji semula garis panduan dan piawaian perancangan bagi pembinaan pangsapuri perkhidmatan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana banyak pangsapuri berkenaan yang sepatutnya disewa tetapi ditawarkan untuk dijual kepada orang ramai oleh pemaju.

"Pembelinya bakal berdepan dengan masalah cukai harta yang tinggi kerana pangsapuri perkhidmatan dimajukan di zon perdagangan, di samping ia tidak memiliki kemudahan seperti surau, masjid dan sekolah," katanya sambil menambah kajian itu akan siap dalam masa empat bulan lagi.

Menurut beliau, tidak seperti projek perumahan biasa, pangsapuri perkhidmatan tidak dikenakan syarat untuk diadakan pelbagai kemudahan.

Beliau bercakap demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Rumah Mampu Milik Taman Sierra Perdana di Masai di sini, Sabtu.

Mohamed Khaled berkata di kawasan Iskandar Malaysia, sejumlah 86,000 unit pangsapuri perkhidmatan telah diluluskan pembinaannya sebelum ini.

Jumlah itu menurut beliau melebihi saranan asal Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) iaitu hanya 26,000 unit menjelang 2025.

Sementara itu pemaju Taman Sierra Perdana, Shiya Sdn Bhd akan membina sebanyak 296 unit rumah bandar teres berstrata yang mempunyai keluasan lebih kurang 92 meter persegi setiap unit.

Porjek perumahan yang berharga RM150,000 seunit serta mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2016.


Iskandar Malaysia

Artikel Lain