suria

MH17: Malaysia Belum Terima Maklumat Kemungkinan Disaman Waris Dari Australia

Datuk Seri Liow Tiong Lai
KUALA LUMPUR: Malaysia masih belum menerima sebarang maklumat terperinci berkaitan kemungkinan saman oleh keluarga waris mangsa tragedi MH17 dari Australia.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau baru pulang dari Chongqing, China, dan masih tidak menerima maklumat itu tetapi berkata pihak berkuasa telah bersedia untuk pergi ke mahkamah.

"Malaysia bersedia untuk berdepan tindakan undang-undang di mahkamah, termasuk kes MH370 itu," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis graduasi di Institut Kojadi, Sabtu.

Pada Khamis, ABC Online melaporkan bahawa seorang peguam penerbangan antarabangsa sedang membuat persediaan untuk melakukan tuntutan mahkamah terhadap Rusia, Ukraine dan Malaysia bagi pihak sekurang-kurangnya lima keluarga mangsa tragedi penerbangan MH17 yang ditembak jatuh.

Tuntutan itu dijangka difailkan dengan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.

Pesawat MAS, penerbangan MH17 itu telah ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.

Beliau berkata kerajaan gembira apabila Malaysia menjadi sebahagian daripada penyiasat kes MH17.

"Ini penting kerana kita mahu membawa mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah," katanya.

Pada Selasa, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dilaporkan berkata bahawa Malaysia akhirnya telah diterima sebagai ahli penuh pasukan siasatan jenayah MH17 setelah berulang kali membuat permintaan.

Katanya, beliau menerima notis daripada Pejabat Pendakwa Raya Kebangsaan Belanda bertarikh 28 November menerima Malaysia sebagai anggota penuh dan sama rata dalam pasukan siasatan bersama.

Beliau berlepas ke Hague pada Rabu untuk menghadiri mesyuarat koordinasi Eurojust ke-3 siasatan jenayah pada 4 Disember.

Datuk Seri Liow Tiong Lai, MH17

Artikel Sebelum

Artikel Lain