suria

Pelan Melebarkan Sungai Bertam Bakal Digerakkan

Datuk Ir Mohd Soffi Abd Razak meninjau kawasan pelebaran sungai.
CAMERON HIGHLANDS: Rancangan untuk meluas dan mendalamkan Sungai Bertam di sini bakal digerakkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Ir Mohd Soffi Abd Razak.

Beliau berkata sungai tersebut dengan dengan 6 meter lebar sedia ada dan kedalaman 1.5 meter akan dilebarkan kepada 40 meter dan kedalaman 6.5 meter apabila projek itu siap.

"Juga akan terdapat lapisan konkrit dasar sungai untuk mengelakkan hakisan tanah.

"Selain itu, lima jambatan menyeberangi sungai akan dinaik taraf manakala dewan serbaguna yang baharu bagi penduduk yang tinggal di Lembah Bertam akan dibina," kata beliau dalam satu mesyuarat antara penduduk dan Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang, Jumaat.

Mohd Soffi berkata kontraktor telah memperoleh tanah bagi projek itu pada 21 November.

"Bagaimanapun, kita masih perlu menyelesaikan isu-isu tanah yang melibatkan lima pemilik tanah dan sembilan pemegang lesen pendudukan sementara (TOL) sebelum projek itu boleh dimulakan.

"Ia boleh menjadi satu proses yang sukar kerana kita perlu meyakinkan mereka bahawa projek ini benar-benar perlu untuk keselamatan penduduk.

"Kami telah mengeluarkan notis kepada pemilik sah dan mereka akan diberi 21 hari untuk berpindah, manakala lesen pemegang TOL akan ditamatkan menjelang akhir bulan ini," katanya, sambil menambah beliau berharap projek itu dapat diteruskan seperti yang dirancang pada bulan depan.

Walau bagaimanapun, penduduk berhampiran Sungai Bertam memberitahu Mohd Soffi kebimbangan mereka projek itu akan memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Antara yang menyuarakan perkara ini ialah petani, Loh Mooi Hui, 58, yang telah menanam cili di ladang seluas 0.4 hektar dengan datuknya sejak kecil.

"Saya bimbang projek pelebaran akan mengambil sekurang-kurangnya separuh daripada ladang saya, yang selama ini menjadi sumber pendapatan keluarga kami," katanya.

Loh berkata sebarang pampasan kewangan daripada kerajaan tidak akan cukup untuk menggantikan kehilangan separuh daripada ladang mereka.

"Saya lebih suka mempunyai sebidang tanah baru," tambahnya.

Seorang lagi petani, Tang Cheong Choon, 47, berkata dia sudah lama bercucuk tanam dengan lesen TOL.

"Jika kerajaan mahu menuntut semula tanah bagi projek itu, apa yang boleh saya lakukan selain berpindah," katanya.

Sebagai tindak balas kepada kebimbangan penduduk, Mohd Soffi berkata kerajaan akan memperuntukkan RM1 juta untuk membayar pampasan kepada semua lima pemilik tanah yang sah.

"Bagi pemegang TOL, ia telah dinyatakan dengan jelas dalam Akta Pengambilan Tanah dalam permohonan mereka bahawa kerajaan tidak terikat untuk menawarkan pampasan mengikut keperluan untuk menamatkan lesen.

"Tetapi pertimbangan mungkin diberikan kepada pemilik lesen tertentu dan semua keluhan hendaklah disalurkan kepada pejabat Ahli Parlimen Cameron Highlands," katanya.

Awal bulan lalu, bandar Ringlet telah dilanda banjir kilat apabila air dari Sungai Bertam melimpah selepas hujan lebat selama sejam menyebabkan lima orang terbunuh dan lima cedera.

Banjir itu menjejaskan 203 penduduk dari 47 keluarga di Kampung Baru dan Lembah Bertam dan mereka terpaksa berpindah ke Dewan Masyarakat Ringlet.

Artikel Lain