suria

Khairy Persoal Biden Isu Kem Tahanan Teluk Guantanamo

Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin mempersoalkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dalam menangani isu kem tahanan Teluk Guantanamo yang penuh kontroversi selepas salah seorang daripada pemimpin tertingginya mengkritik Malaysia dalam menggunakan Akta Hasutan.

Tulisan Menteri Belia dan Sukan itu di Twitter (tweet) itu sebagai respons kepada tweet Naib Presiden AS, Jospeh Biden yang mengkritik keputusan kerajaan Malaysia mengekalkan Akta Hasutan.

"Tutup Guantanamo memberi satu peluang yang baik kepada Amerika Syarikat untuk memperbetulkan keadaan bagi membuktikan demokrasi undang-undang di negara itu," tweet Khairy pada Jumaat, beberapa jam selepas krtikan Biden di Twitter.

Kem tahanan Teluk Guantanamo yang terkenal merupakan pusat tahanan di selatan Cuba yang dikendalikan tentera AS.

AS telah lama dikutuk oleh para pejuang hak asasi manusia kerana memenjarakan tahanan tanpa hak kepada nasihat perundangan di kem tahanan itu.

Badan Pengampunan Antarabangsa menyifatkan kem tersebut sebagai lambang pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh kerajaan AS atas nama memerangi keganasan.

Biden menulis di twitternya pada pagi Jumaat: "Kerajaan Malaysia guna sistem undang-undang dan Akta Hasutan untuk menyekat pembangkang membangkitkan kebimbangan terhadap kedaulatan undang-undang.

"Rayuan (dalam kes) Anwar Ibrahim memberi peluang yang baik kepada Malaysia untuk memperbetulkan keadaan dalam membuktikan demokrasi undang-undang negaranya," kata Biden di akaun Twitter rasminya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2014 minggu lalu mengumumkan bahawa Akta Hasutan bukan sahaja dikekalkan tetapi diperkukuhkan bagi melindungi kesucian Islam dan agama-agama lain.


Artikel Lain