suria

KKLW Sedia Bantu Jawatankuasa Berkaitan Pati Di Sabah Jika Diperlukan

Mohd Shafie Apdal.

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersedia memberi bantuan bersesuaian kepada jawatankuasa yang disyorkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di Sabah jika diperlukan, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, khidmat ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah umpamanya mungkin boleh digembleng untuk mengenal pasti mana-mana pihak bukan orang tempatan yang berada di kampung masing-masing.

Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini Jumaat, Mohd Shafie berkata, adalah menjadi harapan agar masalah yang berlarutan di Sabah itu dapat ditangani.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak melihat keperluan untuk diadakan pertemuan dengan ketua kampung dan JKKK berhubung perkara itu dalam masa terdekat kerana tidak mahu campur tangan dalam urusan jawatankuasa itu.

"Saya tidak mahu campur tangan, melainkan sekiranya jawatankuasa memerlukan bantuan supaya dalam melancarkan bagaimana tindakan-tindakan susulan perlu diambil supaya dapat atasi masalah ini," katanya.

RCI dalam laporannya yang dibentangkan pada 3 Dis lepas, mengesyorkan sebuah jawatankuasa tetap mengenai Pati ditubuhkan yang akan melaporkan kepada jemaah menteri yang dipengerusikan perdana menteri.

Pada masa sama, sebuah jawatankuasa kerja dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan juga akan ditubuhkan.

Jawatankuasa kerja itu antara lain akan meneliti isu-isu dibangkitkan oleh laporan RCI serta maklum balas, aduan dan pandangan masyarakat Sabah untuk diketengahkan kepada jawatankuasa tetap.

Artikel Berikut

Artikel Lain