suria

PAU 2014: Akta Hasutan Perisai Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 mendapat sokongan padu ketiga-tiga sayap parti itu.

Perkara yang disampaikan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 itu, Khamis juga dilihat langkah terbaik untuk menjamin keselamatan dan keamanan berpanjangan di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata tindakan Najib yang juga Perdana Menteri mengumumkan perkara itu menunjukkan akta tersebut mampu menjadi perisai kepada rakyat Malaysia.

"Saya rasa ini adalah tindakan yang bijak dan berani oleh Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia bukan hanya untuk memberi perlindungan kepada orang Melayu sahaja tetapi Akta Hasutan menjadi perisai kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dan ucapan dasar presiden pada persidangan kali ke-68 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Khairy berkata, rakyat Malaysia, tidak kira Melayu atau bukan Melayu perlu sedar bahawa Akta Hasutan bukan hanya dikekalkan sebaliknya ia akan diperbaiki.

"Ia supaya peruntukan khusus berkenaan Islam dan juga apa sahaja usaha untuk memisahkan Sarawak dan Sabah dari Malaysia dijadikan satu kesalahan dalam Akta Hasutan," katanya sambil menambah perkara yang sama turut disebut dalam ucapan dasarnya pada persidangan Pemuda, Rabu.

Senada dengan Khairy, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, keputusan presiden menunjukkan beliau mendengar suara hati rakyat, termasuk sayap Wanita yang meminta supaya Akta Hasutan dikekalkan.

"Nampak gaya saranan dan gesaan Wanita yang kita sudah buat dengan mengumpulkan sejuta tandatangan supaya jangan hapus Akta Hasutan jadi kenyataan.

"Wanita lega perdana menteri sudah dengar suara hati Wanita. Banyak yang baik akan berlaku dengan keputusan ini," katanya.

Beliau juga meminta agar rakyat Malaysia hidup sebagai satu keluarga besar dan berpegang pada Perlembagaan.

"Politik ini mesti ada hadnya. Kalau kita pegang semua yang ada dalam Perlembagaan, negara ini selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menyambut baik keputusan Najib untuk mengekal dan menambahbaik akta berkenaan,

Katanya, keputusan itu sesuai dengan keadaan semasa di mana  Islam tidak dihormati dan isu perkauman sering dimainkan terutama di laman sosial.

"Apa pun yang kita buat mesti ada batasan," katanya.

Akta Hasutan, Najib Razak, PAU, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain