suria

Banjir: 59 Mangsa Masih Di Pusat Pemindahan

Gambar hiasan

IPOH: Seramai 59 orang daripada 16 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan dekat sini sejak Jumaat lepas berikutan banjir.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Hilir Perak, Mohd Fadzly Mohamad Zawawi berkata kesemua keluarga itu adalah dari Lorong Mesra di Batu 7, Changkat Jong.

"Setakat ini, air Sungai Bidor berada pada tahap 3.16 meter daripada paras bahaya 3.5 meter. Keadaan cuaca tengah hari ini mendung," katanya.

Beliau berkata air masih bertakung di Lorong Mesra menyebabkan mangsa tidak dapat pulang ke kediaman masing-masing.

"Jika cuaca benar-benar panas, barulah banjir ini akan surut," katanya.

Banjir melanda kawasan Changkat Jong akibat limpahan air Sungai Bidor susulan hujan lebat pada Jumaat lepas.

"Ketika banjir pada Jumaat lepas, air sungai melebihi paras bahaya 3.68 meter. Hujan lebat luar biasa berlaku di daerah Batang Padang namun limpahan hujan itu dibawa melalui Sungai Bidor ke Hilir Perak," kata Mohd Fadzly.

Menurutnya mangsa banjir yang dipindahkan setakat ini, tidak melibatkan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata pemantauan di kawasan terjejas banjir masih diteruskan memandangkan hujan lebat dijangka berlaku di seluruh Perak petang ini.


Ipoh, Banjir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain