suria

Kerajaan P.Pinang Setuju Ganti PPS Dengan Kepolisan Komuniti

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pulau Pinang akhirnya bersetuju untuk menggantikan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) kepada kepolisan komuniti, dan pihak polis akan memberi sokongan penuh kepada unit berkenaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Dalam Negeri berkata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah bersetuju dengan cadangan kementerian tersebut untuk menukar PPS kepada unit kepolisian komuniti dalam perbincangan yang diadakan di bangunan Parlimen pada Rabu.

"Saya gembira atas kesediaan beliau (Lim) mencari jalan penyelesaian secara baik dalam menyelesaikan isu PPS. Saya berharap ia boleh dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Bukit Aman pada Khamis.

Baru-baru ini KDN mengisytiharkan PPS Pulau Pinang sebagai sebuah pertubuhan haram dan merampas semua asetnya kerana ia tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

PPS yang ditubuhkan kerajaan negeri pimpinan DAP lima tahun lepas dilaporkan mempunyai 296 kumpulan yang beroperasi di 40 kawasan dengan memperoleh sumber kewangan daripada kerajaan negeri.

Ia diwujudkan bagi membanteras jenayah dan membantu kerja-kerja sukarela. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain