suria

Johor Sasar Tawar Lima Produk Pelancongan Global Menjelang 2017

Air terjun Upeh Guling di Taman Negara Endau Rompin yang sering dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.
JOHOR BAHARU: Johor menyasar mempunyai lima produk pelancongan berkepentingan global menjelang 2017 dalam usahanya untuk merancakkan lagi industri pelancongan negeri.


Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Johor tidak boleh ketinggalan dalam usaha menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

"Pertama, ialah membangunkan alam sekitar Endau Rompin sebagai pusat pelancongan dan penyelidikan alam sekitar terulung di Asia Tenggara," kata beliau ketika membentangkan Bajet Johor 2015 di Dewan Undangan Negeri, Kota Iskandar, di Nusajaya, Khamis.

Selain itu, kerajaan negeri turut berhasrat memelihara dan membangunkan Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai sebagai tapak rekreasi dan penyelidikan paya bakau berkepentingan antarabangsa yang mesti dilawati.

Produk pelancongan ketiga pula melibatkan usaha untuk menjadikan Johor sebagai pusat kebudayaan Melayu utama dunia, katanya.

Mohamed Khaled berkata, Johor harus di kenali sebagai destinasi yang mempamerkan ketinggian budaya Melayu yang unik, selain menjadi pusat busana, seni, tarian, bahasa serta warisan Melayu.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut menyasar menjadikan Johor sebagai pusat persidangan bertaraf antarabangsa selain hab pelancongan untuk keluarga.

Antara tarikan pelancongan keluarga sedia ada di Johor termasuklah Legoland, Hello Kitty World, Johor Premium Outlet, Desaru, Angry Bird, aktiviti rekreasi Gunung Ledang dan pelbagai tarikan lain.

Menteri Besar juga berkata kerajaan persekutuan menerusi Pihak Berkuasa Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah memperuntukkan RM31.4 juta untuk membangunkan prasarana eko pelancongan dengan konsep Hutan Hujan ke Terumbu Karang di Taman Negara Endau Rompin.

Projek itu katanya, akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun depan dan siap dalam tempoh lima tahun.


Johor, pelancongan, Endau Rompin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain