suria

Penjawat Awam Johor Terima Bonus Setengah Bulan Gaji

Mohamed Khaled Nordin.
JOHOR BAHARU: Kerajaan negeri Johor mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam negeri dengan bayaran minimum sebanyak RM500.

Berucap ketika membentangkan Bajet Negeri 2015 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Khamis, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia sebagai menghargai sumbangan penjawat awam seperti yang dilakukan Kerajaan Persekutuan.

Katanya kerajaan negeri turut mencadangkan supaya elaun anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) dinaikkan kepada kadar bersamaan Gred 54, berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Khaled berkata beliau memahami anggota DUN berhadapan dengan pelbagai tuntutan tugas yang semakin mencabar dalam memenuhi pelbagai isu dan kehendak rakyat yang mereka wakili.

Bagi memastikan kebajikan pemimpin tempatan terutamanya di peringkat kampung, beliau berkata mulai tahun depan kerajaan negeri bersetuju menaikkan elaun bulanan ketua kampung di Johor sebanyak RM200 iaitu daripada RM800 kepada RM1,000.

Bagi menghargai khidmat bakti petugas Pusat Pelatih Dalam Komuniti (PDK), kerajaan negeri katanya, bersetuju menaikkan elaun bulanan mereka sebanyak RM200 daripada RM800 kepada RM1,000.

Mohamed Khaled berkata elaun penyelia PDK juga dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,400 mulai tahun depan melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata sebagai mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan, kerajaan negeri bersetuju menyediakan dana berjumlah RM3 juta bagi memperkasa pertubuhan yang mewakili pelbagai lapisan.

bonus, Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain