suria

Sultan Mahu Kerajaan Kelantan Beri Tumpuan Terhadap Alam Sekitar

KOTA BAHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu kerajaan negeri mengambil langkah tersusun dan bersepadu bagi menangani isu-isu alam sekitar seperti hakisan dan pencemaran sungai yang kini menjadi isu global dan serius.

Baginda bertitah aktiviti penebangan hutan dan perlombongan tanpa etika boleh memberi kesan serius terhadap kualiti air dan menjejaskan kualiti hidup rakyat di negeri ini.

"Maka tindakan penguatkuasaan oleh semua pihak yang diamanahkan perlu diperkemaskan dan dipertingkatkan," titah baginda pada istiadat penganugerahan gelaran dan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-45 di Istana Balai Besar di sini, Selasa.

Titah ucapan baginda dibacakan Pemangku Raja Dr Tengku Muhammad Fa'iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Sebelum itu, 240 individu menerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran dan Jaksa Pendamai daripada Pemangku Raja.

Sultan Kelantan juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas perancangan untuk mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bandar ini yang akan meningkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan kerajaan.

Baginda sukacita kerana kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan telah mencapai kesepakatan dalam pelaksanaan projek Lebuh raya Kota Baharu-Kuala Krai.

"Beta menaruh harapan kerjasama dan kesepakatan dapat diteruskan dalam banyak lagi perancangan pembangunan dan prasarana untuk rakyat negeri ini," titah baginda.

Baginda juga menyarankan agar kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan sewajarnya dalam menyenaraikan projek-projek pembangunan yang memberi impak besar kepada landskap ekonomi negeri Kelantan.

Projek-projek itu termasuklah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra menjadi lapangan terbang antarabangsa, rancangan tebatan banjir Sungai Golok, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Ketiga dan Jambatan Kampung Cina-Pelekbang.

Baginda juga bertitah menggesa kerajaan negeri supaya meneroka bidang-bidang baharu berteknologi tinggi seperti industri teknologi hijau dan bioekonomi.

Pada istiadat itu, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai senarai 630 penerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran, bintang, pingat, surat kepujian dan pelantikan Jaksa Pendamai.

Arifin dianugerah Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) daripada Sultan Muhammad V yang membawa gelaran Datuk Lela Negara.

Kelantan, Alam Sekitar

Artikel Sebelum

Artikel Lain