suria

Pasang Lebih Banyak CCTV Di Setor Simpanan Aset Hospital

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di stor penyimpanan aset di semua hospital seluruh negara bagi meningkatkan aspek keselamatan.

Naib Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah itu dapat mengelak kehilangan aset hospital melibatkan ubat-ubatan dan peralatan yang menyebabkan kerugian besar kepada Kementerian Kesihatan.

"Bagi mengelak kerugian besar akibat dicuri, aspek keselamatan perlu dipertingkatkan terutama di sekitar hospital dan klinik kesihatan dengan memasang lebih banyak CCTV dan melakukan pemantauan berterusan khususnya di farmasi dan stor penyimpanan peralatan perubatan," katanya kepada Bernama, Selasa.

Lee mengulas pendedahan Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Tahun 2013 yang dikeluarkan semalam, bahawa sebanyak 1,102 unit aset termasuk ubat-ubatan dan peralatan bernilai RM4.2 juta dilaporkan hilang di empat hospital di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun sejak 2011.

Sementara itu, Lee berkata Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu sentiasa mengemaskinikan data anggota mereka melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengelak pembayaran pencen kepada pesara tentera yang telah meninggal dunia.

"JHEV perlu bekerjasama dengan JPN dalam membekalkan maklumat mengenai pesara tentera yang telah meninggal dunia bagi mengelak pembaziran peruntukan," katanya.

Menurut laporan ketua audit negara itu, sebanyak 1,226 pesara atau penerima faedah persaraan yang telah meninggal dunia, didapati masih menerima bayaran pencen berjumlah RM1.07 juta dari 2012 sehingga 2013.

Selain itu, Lee berkata Cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani masalah tunggakan saman oleh pemilik kenderaan dari negara asing.

"Kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti jabatan Kastam serta Imigresen juga perlu supaya pemilik kenderaan negara asing membayar tunggakan saman mereka," katanya.

Menurut laporan itu, sebanyak 16.3 juta saman dikeluarkan polis trafik bagi tempoh 2011-2013 dan daripada jumlah itu, 121,664 saman dikeluarkan kepada bukan warganegara Malaysia.

Dalam pada itu, Lee berkata tindakan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memanggil kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat berhubung masalah kelemahan pengurusan dan pembaziran susulan daripada pendedahan laporan itu, sebagai langkah yang sangat wajar.

"Dengan tindakan itu, PAC boleh memberi cadangan kepada mereka untuk memperbaiki dan menambah baik sistem pengurusan mereka supaya lebih berintegriti dan bertanggungjawab," katanya.

Hospital, Aset

Artikel Berikut

Artikel Lain