suria

Pemuda Umno Johor Cadang Kerajaan Negeri Bantu Pembeli Rumah

JOHOR BAHARU: Pemuda Umno Johor mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan 'one-off' rebat kewangan bagi mengurangkan beban rakyat yang berhasrat membeli rumah.

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata takrifan terkini yang melayakkan seseorang memiliki rumah mampu milik merujuk kepada mereka yang berpendapatan seisi rumah tidak melebihi RM2,000 sebulan, juga harus dikaji semula berikutan situasi rakyat negeri ini yang terbeban dengan kenaikan harga barangan keperluan asas.

"Melalui platform media sosial, (rakyat) menyuarakan rasa resah tentang pemilikan rumah mampu milik yang masih dibatasi pelbagai halangan khususnya untuk golongan muda," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Beliau berkata demikian menjelang pembentangan Bajet Johor 2015 oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Khamis ini.

Mengenai pendidikan agama, katanya, Pemuda Umno turut mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan sebuah model dan sistem yang tersusun dalam usaha memartabat dan memperkasa pendidikan sekolah agama di negeri itu.

Pergerakan itu turut meminta agar perhatian diberi kepada kebajikan guru agama di sekolah agama negeri, seperti memberi kenaikan gaji dan faedah bekerja bagi meningkatkan motivasi guru untuk menerajui sistem sekolah agama ke arah yang terbaik dalam negara.

Bagi memupuk daya kreativiti serta pembangunan sahsiah diri anak muda, Pemuda Umno turut mencadangkan agar kerajaan negeri menaiktaraf prasarana sukan seperti gimnasium dan gelanggang sukan yang lebih moden.

Hahasrin berkata prasarana sukan seumpama itu dapat dijadikan medium dalam meningkatkan produktiviti, kesihatan, kecergasan serta mempromosi gaya hidup lebih sihat kepada golongan berkenaan.

Selain itu, beliau berkata ia juga boleh menjurus kepada penglibatan golongan muda dalam sektor keusahawan, pendidikan dan kemasyarakatan.

Umno, Hahasrin

Artikel Lain