suria

KDN Minta Majikan Tempatan Tidak Guna Ejen Ambil Pekerja Asing

RAWANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta majikan tempatan supaya tidak menggunakan khidmat ejen bagi mendapatkan perkhidmatan pekerja asing.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka perlu membuat permohonan terus kepada KDN bagi mengelak risiko ditipu ejen yang tidak bertanggungjawab.

"Ejen ini pandai, selepas sahaja memperolehi bayaran daripada majikan, mereka tidak membayar levi atau apa bentuk bayaran untuk memperolehi permit pekerja asing ini.

"Inilah yang menyebabkan pekerja yang halal jadi haram, yang tamat tempoh juga jadi haram...tetapi pekerja diseludup merupakan permasalahan yang besar kepada KDN," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan bangunan operasi Balqis Textiles and Manufacturing Sdn Bhd di sini, Selasa.

Ahmad Zahid ditanya berhubung isu Cameron Highlands dibanjiri pendatang tanpa izin (Pati).

Beliau memberi amaran keras kepada majikan supaya tidak mengambil pekerja asing yang memegang kad UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian).

"... Mereka tidak boleh bekerja, tapi ada permintaan terhadap mereka. Ejen ini menawarkan tenaga kerja kepada majikan yang tidak dapat kelulusan bagi penerokaan tanah secara haram.

"Sehingga kini 141 pemegang kad UNHCR telah ditahan oleh Imigresen di Cameron Highlands," katanya.

Menteri itu menegaskan bagi menangani masalah PATI, pihak berkuasa negeri dan tempatan, termasuk Pejabat Tanah, perlu memaklumkan segera kepada pihak penguatkuasa seperti polis mahupun Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, bahagian penguatkuasa Imigresen pula perlu berkuatkuasa tanpa bermusim dengan menjalankan tindakan sepanjang tahun, termasuk pada hari-hari perayaan, katanya.

Ahmad Zahid juga mencadangkan penggunaan kamera CCTV berdefinisi tinggi di kawasan-kawasan panas bagi memantau aktiviti jenayah.

"Penangkapan boleh dibuat dalam dua hingga tiga jam menerusi CCTV. Kita harap kita boleh menggunakan teknik kepolisan moden dari luar negara.

"Saya berharap dalam Rancangan Malaysia ke-11 nanti kerajaan dapat memberi peruntukan besar bagi mempertingkatkan pemantauan, pencegahan dan pembanterasan jenayah," katanya.

Ahmad Zahid, yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Interpol ke-83 di Monaco baru-baru ini, berkata perkara yang dibincangkan termasuk kerjasama antara negara-negara anggota dalam usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah.

Artikel Lain