suria

Pengarah Syarikat Bergelar 'Datuk Seri' Didakwa Simpan 8,000 Liter Diesel

MELAKA: Seorang pengarah syarikat bergelar 'Datuk Seri' pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyimpan barang kawalan iaitu 8,000 liter diesel di tempat tidak dibenarkan di Kawasan Perindustrian Cheng di Cheng di sini, Mac lepas.

Datuk Seri Ong Tai Poh, 52, didakwa sebagai pengarah syarikat Poh Fatt Supreme Holdings membenarkan untuk menyimpan 8,000 liter diesel itu di tempat yang tidak diberi kebenaran oleh pengawal bekalan.

Syarikat Poh Fatt Supreme Holdings beralamat di Kawasan Perindustrian Cheng di Cheng di sini juga didakwa atas kesalahan yang sama.

Pemilik tanah tempat penyimpanan diesel itu, Muhammad Shafiq Tan Abdullah, 40, turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan sama.

Turut didakwa Azery Sallehudin, 34, sebagai pengarah syarikat Utama Sama Niaga iaitu berurusan dengan diesel secara runcit atau borong tanpa lesen sah membabitkan 19,000 liter diesel.

Semua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di  sebuah stor tanpa nama dalam kawasan lot PT4823 TTC33, Kawasan Perindustrian Cheng pada pukul 12.20 tengah hari, 5 Mac lepas.

Ong, Muhammad Shafiq Tan dan Azery didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Syarikat Poh Fatt Supreme Holdings didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM250,000 jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Sazali Omar membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 12 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Mohd Syahrun Nizam Mohd Misan, manakala Ong diwakili peguam Ho Wee Keong; dan Muhammad Shafiq Tan serta Azrey diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.
Diesel

Artikel Berikut

Artikel Lain