suria

6.7 Juta Pekerja Asing Dikhuatiri Kuasai Ekonomi Negara

Gambar fail menunjukkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat (kanan) memeriksa pasport sebahagian pekerja asing yang ditahan dalam satu operasi bersepadu bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) awal tahun ini.

PUTRAJAYA: Jangan pandang ringan kebanjiran pekerja asing di negara ini kerana mereka mungkin boleh menguasai ekonomi jika terus mendapat peluang, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Kebanjiran pekerja asing di negara ini harus dipandang serius dan ia membimbangkan apabila dianggarkan terdapat 6.7 juta golongan itu dan daripada jumlah itu, hanya 2.1 juta sahaja mempunyai permit yang sah, katanya.

Jumlah sebenar pekerja asing yang berada di negara ini mungkin lebih ramai dengan anggaran dibuat mengikut nisbah seorang pekerja yang mempunyai permit membawa sekurang-kurangnya seorang pekerja yang tiada permit, katanya.

"Ketika ini mungkin mereka menguasai bidang separuh mahir contohnya dalam bidang pertanian, buruh dan sebagainya, namun siapa sangka suatu hari nanti golongan ini akan menguasai bidang profesional pula," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILTJM) di sini pada Isnin, Riot berkata warga tempatan seharusnya tidak terlalu memilih pekerjaan.

"Para majikan juga perlulah bersikap adil dengan menawarkan gaji yang sesuai kepada pekerja tempatan," katanya.

Terdahulu seramai 5,455 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing, daripada jumlah itu, 4,516 graduan dari ILJTM Semenanjung Malaysia dan selebihnya dari ILJTM Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pekerja Asing, Richard Riot Jaem

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain