suria

Bina Segera Laluan Pejalan Kaki Berbumbung Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan memohon agar pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di sekitar kawasan Parlimen disegerakan.

Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) berkata ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan ketidakselesaan kepada pihak-pihak yang berurusan di Parlimen berikutan kerja-kerja menaik taraf bangunan Parlimen sedang dijalankan di kawasan terbabit.

Beliau berkata pembinaan yang kini bertumpu di kawasan tempat letak kereta menyebabkan banyak kenderaan terpaksa diletakkan di luar kawasan Parlimen, termasuk bas-bas pelawat dan kenderaan pegawai bertugas.

"Kita juga lihat hujan sering turun kebelakangan ini dan ada pelajar-pelajar sekolah yang datang ke Parlimen pun berhujan. Kita dah lama minta dan kita tahu ada peruntukan. Tetapi mengapa masih belum dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat jawatankuasa di Persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Kerja-kerja menaik taraf bangunan Parlimen dimulakan pada Mac 2011 dan dijangka siap pada 2016.

Terdahulu, Mojigoh memohon supaya cadangan kenaikan elaun anggota Parlimen turut diperluas kepada para pegawai yang membantu tugas mereka, termasuk di pihak pembangkang.

Beliau juga mencadangkan kenaikan itu diberikan kepada bayaran pencen anggota Parlimen yang telah bersara.

Parlimen, Marcus Mojigoh

Artikel Lain