suria

Melaka Bentang Bajet Lebihan 11 Kali Berturut-turut

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka membentangkan Bajet 2015 berjumlah RM302.73 juta dengan lebihan RM181,676 sekali gus mencatatkan bajet lebihan kali ke-11 berturut-turut sejak 2005.


Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron berkata, ia merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM295.88 juta dan perbelanjaan tanggungan (RM6.85 juta) dengan kutipan hasil bagi 2015 dianggarkan berjumlah RM302.92 juta.

Beliau berkata, perbelanjaan bagi perkhidmatan dan bekalan merupakan komponen terbesar dengan RM114.73 juta bagi menampung kenaikan kos bekalan, bil utiliti, sewaan, penyelenggaraan pejabat dan kenaikan emolumen kakitangan kontrak.

"Peruntukan pembangunan pula RM55.06 juta iaitu RM19 juta bagi penyediaan infrastruktur; RM11.65 juta untuk kemajuan masyarakat; RM9.56 juta bagi ekonomi; RM7 juta untuk keagamaan; RM2.2 juta untuk pembangunan veterinar dan pertanian serta RM5.65 juta untuk pentadbiran dan sosial," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, Isnin.

Katanya, bajet bertemakan 'memantap ekonomi, mensejahtera rakyat' itu menggariskan tiga strategi utama iaitu mempersiaga Melaka Maju Fasa 2 ke arah negeri bandar berpendapatan tinggi; mensejahtera rakyat dan membina kehidupan berkualiti serta mentransformasi penyampaian perkhidmatan awam.

Idris berkata, melalui strategi mempersiaga Melaka Maju Fasa 2 ke arah negeri bandar berpendapatan tinggi, kerajaan negeri akan memantapkan lagi kemudahan infrastruktur bagi memastikan rakyat terus menikmati kemudahan berkualiti di samping memberi keyakinan kepada pelabur.

"Kerajaan negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri Melaka akan mengkaji kesesuaian untuk membangunkan projek landasan kereta api laju di Durian Tunggal selaras cadangan kerajaan persekutuan untuk membina landasan kereta api laju Singapura-Kuala Lumpur," katanya.

Selain itu, katanya, projek pembangunan komersial bercampur Melaka Gateway dengan nilai pembangunan sebanyak RM40 bilion bakal memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat serta menjana kira-kira 10,000 peluang pekerjaan.

Bagi strategi kedua mensejahtera rakyat dan membina kehidupan berkualiti, Idris berkata kerajaan negeri berusaha menyediakan perumahan selesa, berkualiti serta mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau berkata pihaknya mengemukakan enam tapak Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk kelulusan Jabatan Perumahan Negara di Kampung Tun Kudu; Ayer Molek Darat; Bukit Rambai; Sungai Udang; Sungai Putat fasa 2 dan Pulau Gadong fasa 2.

"Kerajaan negeri Melaka juga memohon projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Batu Berendam dan Tanjung Minyak," katanya.

Selain itu, Idris berkata, kerajaan negeri Melaka juga akan mempergiat sektor pertanian dan penternakan; menyedia kemudahan premis-premis perniagaan kepada bakal usahawan; meningkatkan taraf kesihatan; memartabat peranan wanita serta memperkasa pembangunan belia dan sukan.

Katanya bagi strategi ketiga mentransformasi penyampaian perkhidmatan awam, beberapa jawatan di jabatan negeri dan persekutuan akan disemak semula dan dinaik taraf agar bersesuaian dengan status negeri maju selain bidang tugas yang mencabar.

Jabatan tersebut ialah Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka; Jabatan Pengairan dan Saliran; Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Melaka dan Jabatan Pendidikan negeri Melaka, katanya.


bajet, Melaka Gateway, lebihan

Artikel Lain