suria

Kerajaan Hasrat Tubuh Kumpulan Sokongan Di Taska Kekang Penderaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhasrat menubuhkan kumpulan sokongan di taman asuhan kanak-kanak (taska) bagi membanteras kes penderaan dan kematian di pusat jagaan kanak-kanak itu.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kumpulan sokongan itu akan dilengkapkan dengan jururawat ataupun doktor yang akan dipertanggungjawabkan untuk melakukan lawatan secara berkala di taska-taska di seluruh negara.

Beliau berkata penempatan jururawat atau doktor ini boleh dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan dengan kerjasama agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan yang berkaitan," katanya.

Rohani berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat di sini Rabu.

Beliau berkata ketika ini, pemantauan tetap dilakukan oleh Pegawai Diberikuasa TASKA ke atas semua taska yang berdaftar iaitu sebanyak empat kali setahun bagi memastikan kualiti pengasuhan dan aspek keselamatan dipatuhi.

Sehingga Oktober ini, Rohani berkata sebanyak 163 taska di bawah kelolaan kerajaan, yang terbahagi kepada dua kategori iaitu taska di tempat kerja di sektor awam sebanyak 119 dan taska komuniti, 44.

Manakala terdapat 2,818 buah taska di sektor swasta yang mana 26 daripadanya adalah taska di tempat kerja.

"Kementerian turut menggalakkan pengusaha agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) secara dalam talian bagi membolehkan pengusaha dan ibu bapa kanak-kanak memantau keselamatan dan aktiviti kanak-kanak semasa berada di taska," katanya. 








Rohani Abdul Karim, taska

Artikel Lain