suria

Dakwaan Kerajaan Abai Cadangan Pembangunan Lebuh Raya Di Kelantan Tidak Benar

Fadillah Yusof.
KUALA LUMPUR: Dakwaan yang mengatakan kerajaan mengabaikan cadangan pembangunan lebuh raya di Kelantan adalah tidak benar, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sebaliknya, beliau berkata cadangan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) di Kelantan yang bermula di daerah Kuala Terengganu melalui Setiu dan seterusnya memasuki negeri itu sememangnya termasuk dalam perancangan kerajaan untuk dilaksanakan pada masa hadapan.

Malah katanya sebagaimana seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Kajian Kemungkinan Awalan Projek LPT3 telah disiapkan pada tahun 2009 yang mana kajian itu antara lain telah mengenal pasti cadangan jajaran laluan LPT3 yang terlibat iaitu dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu sehingga ke Pengkalan Kubor di Kelantan sepanjang 147 kilometer.

"Ia akan melengkapkan rangkaian Lebuh Raya Pantai Timur yang melibatkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan sebagaimana rekomendasi Laporan Pelan Induk Pembangunan Rangkaian Jalan Raya Semenanjung Malaysia atau lebih dikenali sebagai HNDP Fasa 1," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Fadillah berkata berdasarkan Laporan HNDP, projek LPT3 itu berpotensi untuk dilaksanakan secara kaedah penswastaan.

Beliau berkata pelaksanaan keseluruhan Lebuh Raya Pantai Timur dibuat secara berfasa yang mana fasa terakhir dan belum dimulakan lagi ialah LPT3 (Kelantan).

"Pada masa ini projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 atau LPT2 di negeri Terengganu sepanjang 184 kilometer sedang dalam peringkat akhir untuk disiapkan.

"Projek LPT2 ini merupakan kesinambungan daripada LPT1 di negeri Pahang dan Lebuh Raya KL-Karak yang menghubungkan Lembah Klang ke kawasan Pantai Timur," katanya.


Fadillah Yusof, LPT3, Kelantan

Artikel Lain