suria

Miliki Sijil Kelahiran Bukan Automatik Warganegara Malaysia - JPN

Contoh sijil kelahiran hijau yang dikeluarkan JPN.
PUTRAJAYA: Lahir di Malaysia dan memiliki sijil kelahiran negara ini bukan bermakna seseorang itu secara automatik berstatus warganegara Malaysia, kata Ketua Pengarah Pendaftaran Datuk Sulaiman Keling.


Beliau berkata, taraf kewarganegaraan seseorang itu ditentukan berdasar kepada taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung dan taraf perkahwinan ibu bapanya semasa kelahiran berlaku.

Beliau menjelaskan jika ibu bapa bukan warganegara atau pemastautin tetap semasa kelahiran, maka kanak-kanak itu berstatus bukan warganegara Malaysia.

"Sehubungan itu, lahir di Malaysia dan mempunyai Sijil Kelahiran Malaysia tidak membuktikan bahawa seseorang itu adalah bertaraf warganegara Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat bagi menjelaskan kekeliruan masyarakat berhubung status kewarganegaraan kanak-kanak yang lahir di Malaysia.

Sulaiman berkata, tanggapan bahawa kanak-kanak lahir di Malaysia dan memiliki Sijil Kelahiran Malaysia akan menjadikan mereka warganegara Malaysia secara automatik, adalah tidak benar.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertanggungjawab mengeluarkan dokumen pengenalan diri bagi semua penduduk di Malaysia yang meliputi sijil kelahiran, sijil anak anngkat, kad pengenalan, sijil perkahwinan bagi pasangan bukan Islam, sijil warganegara bagi mereka yang diluluskan oleh kerajaan dan sijil kematian untuk memenuhi keperluan keselamatan, kesejahteraan dan pembangunan negara.

Sulaiman berkata, setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia hendaklah didaftarkan seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 7 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Di bawah akta itu, katanya, semua kelahiran yang berlaku di Malaysia wajib didaftarkan tanpa mengira status kanak-kanak itu.

Menurutnya, ia juga seiring dengan ketetapan Konvensyen Hak Kanak-Kanak anjuran Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menghendaki setiap kanak-kanak yang dilahirkan hendaklah didaftarkan kelahirannya dengan segera tanpa diskriminasi.

Sulaiman berkata, bagi memudahkan agensi lain mengenal pasti status kewarganegaraan kanak-kanak melalui sijil kelahiran, JPN telah mengeluarkan Sijil Kelahiran berbeza warna mulai 1 Julai 2011.

Sijil kelahiran hijau adalah bagi kanak-kanak yang bertaraf warganegara manakala  merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warganegara atau belum ditentukan.

Bagi kanak-kanak bertaraf bukan warganegara yang telah memiliki sijil kelahiran hijau sebelum 1 Julai 2011, ia dikekalkan dan hanya berubah warna sijil kelahiran apabila pemohon membuat cabutan siijil kelahiran di mana-mana pejabat JPN yang berhampiran, katanya.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain