suria

Pegawai Penyiasat Tidak Usik Bekas Sampel Saiful

Anwar (kiri) berbincang sesuatu dengan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (kanan) pada waktu rehat, ketika hadir pada hari keempat bagi mendengar keputusan rayuan terakhir berhubung kes liwat di Istana Kehakiman di Putrajaya pada Jumaat. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Hanya beg plastik yang mengandungi 12 bekas sampel yang diambil daripada Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang dibuka oleh pegawai penyiasat (ILO) dalam kes liwat membabitkan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bukan bekas yang mengandungi calitan daripada rektum pengadu, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Jumaat.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu berkata Supt (bersara) Jude Blacious Pereira mematuhi Peraturan Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) apabila semua barang kes disimpan dalam sampul berasingan sebelum dihantar ke Jabatan Kimia.

Beliau berkata semasa pemeriksaan utama, Pereira telah menjelaskan perkara itu secara terperinci dan tidak pernah cuba untuk menyembunyikan tindakannya seperti yang didakwa pihak pembela.

"Apa yang beliau lakukan sebenarnya mematuhi betul-betul apa yang dikehendaki di bawah IGSO dengan meletakkan setiap bekas dalam sampul berasingan dan menandakan sampul-sampul itu.

"Beliau tidak membuat apa-apa penandaan pada bekas itu atau membukanya kerana ia telah dimeterai oleh Dr Siew Sheue Feng dan doktor itu dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, telah menandatangani pada cap setiap satu daripada bekas itu, " kata Muhammad Shafee.

Muhammad Shafee berhujah bagi pihak pendakwaan dalam rayuan Anwar terhadap pensabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah unit kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Peguam kanan itu juga memberitahu barisan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bahawa untuk menyokong tindakan pegawai penyiasat itu, pihak pendakwaan telah mengemukakan salinan IGSO yang jelas menyatakan bagaimana bahan bukti harus dikendalikan dan disimpan sebelum dihantar kepada ahli kimia.

Muhammad Shafee berkata di peringkat Mahkamah Tinggi, pihak pembelaan berjaya meyakinkan dalam hujahnya bahawa ada kemungkinan sampel itu diusik yang membolehkan penasihat PKR itu dibebaskan.

Bagaimanapun, di Mahkamah Rayuan, pihak pendakwa berhujah bahawa apabila ahli kimia Dr Seah Lay Hong dan Nor Adora Saidon memeterai bahan bukti, semua bekas masih utuh dan tidak terusik dan mahkamah bersetuju serta meminda keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa sampel intim Mohd Saiful itu dikumpul oleh dua orang doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Khairul Nizam pada 28 Jun 2008.

"Sampel itu dibawa kembali oleh pegawai penyiasat dan disimpan di dalam loker di pejabatnya selama hampir 48 jam sebelum beliau membawanya keluar pada 30 Jun 2008 dan menghantarnya kepada ahli kimia," katanya.

Muhammad Shafee juga berkata sampel yang diambil dari bilik lokap Anwar ditahan semalaman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tiba di jabatan kimia pada 17 Julai 2008.

"Pihak pembelaan bergantung kepada teori konspirasi bahawa sampel telah diusik, tetapi di mahkamah ini, kami berhujah mengenai analisis yang dijalankan oleh ahli kimia terhadap kesan air mani.

"Bagaimanapun, pada perbicaraan mendengar rayuan kali ini, mereka (pihak pembela) berhujah mengenai kemungkinan pegawai penyiasat berjaya mendapatkan sampel DNA perayu (Anwar) dari suatu tempat dan meletakkannya bersama sampel yang diambil daripada pengadu," katanya.

Mengenai isu berlaku gangguan dalam rantaian proses pengumpulan bahan bukti, Muhammad Shafee berkata tidak berlaku sama sekali kerana pegawai penyiasat mematuhi apa yang dikehendaki di bawah IGSO walaupun beliau mengaku tidak mendengar nasihat Dr Siew supaya sampel itu disimpan dalam penyejuk beku untuk melindunginya.

Muhammad Shafee akan menyambung hujah pada Isnin dan pihak pembelaan pula akan menjawab hujahnya pada Selasa. 

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 67, selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. 

Tuduhan itu, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.





Artikel Lain