suria

Ops Gempur Aurat Dapat Reaksi Berbeza

Gambar hiasan.
KOTA BARU: Ops Gempur Aurat yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB) terhadap kumpulan yang terlibat dalam perniagaan bagi menangani isu membuka aurat mendapat reaksi berbeza daripada orang ramai.

Zulhanifa Hamid, 32, berkata, dia menyokong operasi tersebut kerana baru-baru ini kelihatan beberapa gadis yang berpakaian seksi tidak bertudung berada di outlet Telco dan tertanya-tanya sama ada ia bertentangan dengan undang-undang kecil majlis perbandaran itu.

 "Setahu saya, wanita Islam terutamanya diwajibkan menutup aurat ketika berada di tempat awam khususnya mereka yang bekerja di restoran makanan segera seperti McDonalds atau Kentucky Fried  Chicken.

"Namun sejak akhir-akhir ini saya melihat segelintir daripada mereka memakai pakaian ketat walaupun memakai tudung," katanya ketika ditemu bual di sebuah restoran.

 Bagaimanapun, seorang pemilik restoran yang hanya ingin dikenali sebagai Sharon Low berkata, dia tidak bimbang mengenai orang bukan Islam dikecualikan daripada memakai tudung tetapi dia pernah berdepan pengalaman didenda antara RM100 dan RM300 apabila dua pekerjanya ditahan oleh pegawai penguatkuasa MPKB kerana memakai baju kemeja-T lengan pendek.

"Pekerja saya bertudung tetapi ketika berada di dapur, adalah tidak sesuai untuk memakai baju berlengan panjang kerana keadaan yang basah tetapi saya masih perlu membayar denda," katanya.

Operasi itu mendapat kritikan di kalangan peniaga, MCA dan badan bukan kerajaan (NGO) Sister in Islam selepas sebanyak 34 saman dikeluarkan kepada wanita Islam yang ditangkap berpakaian ketat dan tidak memakai tudung sejak ia dilancarkan pada September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Wanita Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB), Nor Azariza Mohd Alawi berkata tindakan keras itu adalah tindak balas kepada aduan orang ramai.

"Peraturan pakaian ini adalah salah satu syarat untuk mendapatkan permit perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MCA Kelantan, Tan Ken Ten berkata operasi yang akan berakhir hujung tahun itu disifatkan sebagai regresif.

"Saya tidak faham mengapa operasi seperti itu dilanjutkan walaupun saya tiada hak untuk mempertikaikannya, segelintir peniaga bukan Islam terpaksa mengeluarkan wang untuk membayar denda," katanya.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie pula menggesa MPKB untuk fokus kepada isu kebersihan di premis perniagaan.

"Daripada menguatkuasakan kod pakaian kepada wanita Islam, majlis perbandaran sepatutnya memeriksa kebersihan dan pengurusan sanitasi di premis dan kawasan persekitarannya," katanya.

 

 

 


Ops Gempur Aurat, Kelantan, MPKB

Artikel Sebelum

Puting Beliung Landa Alor Setar

Artikel Lain