suria

Dua Pembalak Haram Mengaku Bersalah

MIRI: Seorang subkontraktor dan seorang juragan bot masing-masing dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 setelah mengaku bersalah cuba memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa agar tidak mengambil tindakan terhadap mereka kerana terlibat dengan kegiatan pembalakan haram.

Hakim Mahkamah Sesyen Khas (Rasuah) Nixon Kennedy Kumbong menjatuhi hukuman itu terhadap subkontraktor Teng Yok Foo, 42, dan juragan Laseh Seling, 44, selepas dua lelaki berkenaan merayu diringankan hukuman kerana ia merupakan kesalahan pertama mereka, mempunyai keluarga untuk disara dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Teng didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak lebih lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Dia dituduh menawarkan pemberian RM2,000 kepada Mohamad Dzakariya Abdul Kader, inspektor yang bertugas dengan Jabatan Perisikan, Pasukan Operasi, Briged Batu Kawa, Polis Diraja Malaysia Kuching, selepas didapati melakukan kegiatan pembalakan di Long Kesseh, Baram, Miri, tanpa permit sah daripada Jabatan Perhutanan Sarawak.

Pemberian rasuah itu dikatakan ditawarkan pada pukul 9 malam 10 Sept 2014 di sebuah restoran makanan laut di Tebingan Miri.

Di mahkamah sama, Laseh dituduh menawarkan rasuah RM500 kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jahir Ja'afar pada 14 Mac 2014 di atas bot tunda Link Link V di Limbang.

Rasuah itu ditawarkan agar Jahir tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana mengangkut balak tanpa permit pengangkutan sah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Kedua-duan tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa SPRM Kathrine Nais.
SPRM, balak haram

Artikel Lain