suria

Tiga Lelaki Termasuk Ketua 'Geng Alif' Ditahan Di Melaka

JASIN: Polis menahan tiga lelaki termasuk ketua kumpulan 'Geng Alif' yang dipercayai menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar Melaka dan Gemencheh, Negeri Sembilan sejak awal tahun ini.
 
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata tangkapan pertama melibatkan ketua kumpulan itu dikenali sebagai Alif yang berusia 27 tahun diikuti dua anggota kumpulannya yang berumur 18 dan 22 tahun di rumah masing-masing di Selandar di sini menerusi Ops Pintu pada Selasa.

"Hasil soal siasat mendapati kumpulan ini dianggotai enam lelaki dan tiga daripada mereka yang ditahan mengaku melakukan beberapa jenayah termasuk pecah rumah dan mencuri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di sini, Rabu.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu terlibat dalam 11 kes jenayah meliputi pecah rumah, pecah bengkel dan curi motosikal di Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah selain Gemencheh.

Muhd Nur Hishamuddin berkata tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan berusia antara 21 dan 45 tahun juga ditahan polis pada Selasa dan Rabu bagi membantu siasatan membeli barangan curi dari 'Geng Alif'.

Polis merampas empat komputer riba dan masing-masing satu televisyen 48 inci, mesin rumput dan mesin pengilap kereta dipercayai barangan curi yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM10,000 daripada mereka.

Polis juga sedang menjejaki tiga lagi anggota kumpulan itu, yang dipercayai berada di Negeri Sembilan.
Geng Alif, Ops Pintu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain