suria

Pekerja Am Terlepas Hukuman Gantung

IPOH: Seorang pekerja am terlepas daripada hukuman gantung mandatori setelah Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar 226 gram ganja, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin memutuskan demikian terhadap Sariff Safie, 31, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Noorin menyatakan pada tahap penilaian maksima, mahkamah tidak yakin dengan keterangan pendakwaan yang hanya memanggil seorang saksi sahaja untuk menunjukan dadah tersebut dijumpai bersama-sama tertuduh.

"Walaupun dikatakan dadah tersebut dijumpai pada badan tertuduh, namun tanpa sebarang keterangan sokongan terhadap keterangan saksi pendakwaan keempat, iaitu setidak-tidaknya seorang lagi saksi.

"Saya merasakan tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh atas pertuduhan terhadapnya dengan bergantung kepada keterangan saksi pendakwaan keempat semata-mata," katanya.

Beliau berkata mahkamah turut meragui kredibiliti saksi berkenaan yang menyatakan tidak memberitahu pegawai penyiasat, mengenai enam orang tangkapan lain pada hari yang sama tertuduh ditangkap dengan alasan mereka tidak berkaitan dengan kes tertuduh.

Noorin berkata tertuduh juga berjaya menimbulkan keraguan munasabah apabila menyatakan dadah tersebut dijumpai di dalam rumah bernombor 218 yang disaksikan oleh kedua ibu bapa tertuduh dan enam orang tangkapan lain pada tarikh serbuan dibuat.

"Maka saya tidak dapat membuat kesimpulan mengenai satu penemuan milikan positif dadah tersebut walaupun ia dikatakan dijumpai pada badan tertuduh," katanya.

Tertuduh, yang diwakili peguam bela Charan Singh, didakwa mengedar ganja tersebut di belakang sebuah rumah beralamat No.105, Kampung Ujong Pasir, Pengkalan Bharu, Pantai Remis, pada pukul 5.30 petang, 24 September 2012.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut 39(B)(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
bebas, hukuman gantung, edar ganja

Artikel Sebelum

Artikel Lain