suria

Pengambilan Pekerja Antara Kerajaan Boleh Turun Kos

Richard Riot
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Bangladesh bercadang melaksanakan urusan pengambilan pekerja Bangladesh untuk bekerja di Malaysia melalui mekanisme antara kerajaan dengan kerajaan, tanpa pembabitan pihak ketiga, ejen, syarikat penyumberan luar atau majikan.


Kementerian Sumber Manusia berkata, mekanisme itu akan meminimumkan kos pengambilan pekerja daripada RM13,000 kepada RM1,300, di samping menyelamatkan pekerja daripada terikat dengan hutang.

"Ini juga akan menghalang perbuatan mengaut keuntungan melalui kegiatan pemerdagangan dan penyeludupan manusia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu untuk menjelaskan isu pengambilan 12,000 rakyat Bangladesh untuk bekerja di Sarawak seperti yang dilaporkan media.

Merujuk kepada lawatan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem ke Bangladesh pada 18 hingga 20 Ogos, kementerian itu berkata, ketika lawatan itulah kedua-dua negara menyuarakan hasrat untuk menggunakan mekanisme pengambilan pekerja secara antara kerajaan dengan kerajaan.

"Majikan dan pekerja yang terlibat dengan mekanisme ini perlu mematuhi kriteria yang terkandung dalam memorandum persefahaman mengenai perkara itu seperti urusan tapisan keselamatan, pemeriksaan perubatan, kesesuaian serta ketulenan majikan," katanya.

Aspek lain termasuk pematuhan standard buruh antarabangsa tentang gaji minimum serta syarat yang adil dan wajar berkaitan guna tenaga.

Pengambilan kira-kira 12,000 rakyat Bangladesh untuk bekerja dalam pelbagai sektor di Sarawak dinyatakan Pesuruhjaya Tinggi negara itu di Malaysia A K M Atiqur Rahman dalam sidang akhbar di Kuching pada 20 Oktober.

Kementerian itu berkata masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan menyebabkan kerajaan tidak mempunyai pilihan selain membenarkan pengambilan pekerja asing dan dalam kes berkenaan, dari Bangladesh.

Ia bertujuan memenuhi permintaan pembangunan pesat ekonomi di Sarawak.

"Bagaimanapun, permintaan terhadap 12,000 pekerja itu hanya suatu anggaran berdasarkan maklum balas daripada pemegang kepentingan, khususnya sektor perladangan di Sarawak," kata kenyataan itu.

Kementerian itu berkata pengambilan akan dibuat secara berperingkat kerana permintaan sebenar oleh majikan perlu terlebih dahulu diteliti sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada agensi kerajaan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, akibat kekurangan pekerja, majikan dalam sektor perladangan terpaksa mengambil buruh asing untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mereka.

"Tanpa wujudnya tenaga kerja asing, sektor perladangan, satu daripada tunggak ekonomi Sarawak, mungkin runtuh," katanya.


Artikel Lain