suria

Tiada Wang Tebusan Dibayar Untuk Pembebasan Warga Jerman

Okonek (tiga kiri) dan pasangannya dibebaskan oleh kumpulan Abu Sayyaf, malam Jumaat lalu.
MANILA: Kerajaan Filipina enggan mengesahkan laporan bahawa wang tebusan dibayar sebagai pertukaran untuk pembebasan dua warga Jerman, Viktor Stefan Okonek dan Henrike Dielen.

"Presiden (Benigno Aquino III) gembira menerima perkhabaran semalam (Sabtu) bahawa dua tebusan warga Jerman sudah dibebaskan dan bertanya mengenai keadaan fizikal mereka," kata jurucakap timbalan, Abigail Valte.

Namun Valte menegaskan kerajaan tidak membenarkan bayaran wang tebusan kerana media melaporkan penculik mendakwa telah dibayar sebanyak P250 juta (RM18 juta).

Kumpulan militan Abu Sayyaf menculik Okonek dan Dielen mendakwa wang tebusan telah dibayar yang menyebabkan mereka membatalkan niat untuk memenggal kepala Okonek dan seterusnya membebaskan kedua-dua tebusan itu.

Pasukan tentera dan Kementerian Luar Jerman pada Sabtu masing-masing mengesahkan Okonek, 71, dan pasangannya, Dielen, 55, berada di kedutaan Jerman di Manila dalam keadaan selamat.
 
"Kami lega untuk mengesahkan bahawa kedua-dua warga Jerman tidak lagi berada di tangan penculik. Mereka kini sedang mendapat perlindungan di kedutaan tersebut di Manila.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan Filipina diatas kerjasama erat yang diberikan dan menyelesaikan kes itu dengan penuh keyakinan," kata jurucakap kementerian itu.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam, Angkatan Tentera Filipina (AFP) Lt Col Harold Cabunoc berkata, kedua-dua mangsa culik itu dibebaskan di Patikul, Sulu kira-kira pukul 8.50 malam Jumaat lalu.

Beliau tidak mendedahkan siapa yang membawa Okonek dan Dielen selepas dibebaskan kumpulan penculik itu.

"Mereka dibawa ke kem tentera di Jolo pada pukul 9.20 malam untuk pemeriksaan kesihatan. Mereka kemudiannya dibawa ke Zamboanga City untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Sebuah pesawat peribadi membawa Okonek dan Dielen dari Zamboanga ke Manila, awal pagi Sabtu.

culik, Abu Sayaaf, Jerman

Artikel Lain