suria

Najib Akan Hadir Majlis Angkat Sumpah Presiden Indonesia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Indonesia, Joko Widodo di Jakarta, Isnin.


Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, Najib akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan pegawai daripada Jabatan Perdana Menteri dan kementerian.

"Majlis itu akan berlangsung di Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia pada 20 Oktober," kata kenyataan itu sambil menambah enam ketua negara atau kerajaan adalah di antara 18 kenamaan asing yang dijadual menghadiri majlis itu.

Menurut kenyataan itu, Najib akan mengambil peluang daripada lawatan kerja ke Jakarta itu untuk bertemu Perdana Menteri Australia, Tony Abbott dan Setiausaha Negara, Amerika Syarikat John Kerry.

Gabenor Jakarta Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi memenangi pilihan raya Presiden Indonesia pada 22 Julai, mengalahkan Prabowo Subianto, seorang bekas jeneral tentera.

Beliau akan mengambil alih jawatan itu daripada Susilo Bambang Yudhoyono, yang menjadi Presiden sejak 2004.


Artikel Lain