suria

Malaysia Cadang Tubuh Pusat Kecemerlangan Komanwel PPP

PUTRAJAYA: Malaysia menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (Capam) untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Komanwel Perkongsian Awam-Swasta (PPP).


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pusat yang dicadangkan itu akan membuka jalan kepada pertukaran maklumat tentang usaha yang dilaksanakan PPP di negara Komanwel lain, di samping mewujudkan tanda aras bagi amalan terbaik untuk dikongsi semua pihak.

Katanya, dalam landskap hari ini, gandingan antara agensi kerajaan semata-mata sebagai sebuah entiti untuk berkhidmat kepada rakyat sudah tidak lagi memadai dan mereka perlu belajar bekerjasama rapat dengan sektor swasta, yang terdiri daripada syarikat perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam ucap tama merasmikan pesidangan Capam 2014 di sini, Muhyiddin berkata Malaysia mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam melaksanakan PPP dan inisiatif itu amat berguna dalam mempercepatkan pertumbuhan serta pembangunan ekonomi negara ini.

"Dengan memiliki pengalaman luas dalam PPP, Malaysia bersedia bekerjasama dengan rakan Komanwelnya, terutama dalam bidang pembinaan keupayaan dan perundingan.

"Kami sedia bekerjasama dengan Capam dan Sekretariat Komanwel untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Komanwel PPP," katanya dan menjelaskan bahawa penubuhan pusat itu akan membolehkan Malaysia berkongsi pengalamannya melalui rangkaian luas Capam.

"Di Malaysia, lebih 600 projek dilaksanakan melalui inisiatif ini, yang melibatkan perbelanjaan RM182 bilion," kata Muhyiddin ketika berkongsi kisah kejayaan Malaysia mengenai PPP dengan 1,500 anggota perwakilan dari 53 negara pada persidangan dwitahunan itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Ahad.

Persidangan kali ini bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu'.

Beliau berkata projek seperti Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya, Lebuhraya Utara Selatan, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia, mewujudkan bidang baharu pembangunan serta meningkatkan akses dan mobiliti.

"Minat terhadap PPP di seluruh dunia berkembang dalam tahun kebelakangan ini, manakala kekangan fiskal di sesetengah negara dijangka terus meningkat dalam aplikasinya," kata beliau.

Muhyiddin juga menegaskan tentang perlunya perkhidmatan awam membuang mentaliti silo dan organsisasi kerajaan pula belajar bekerjasama sebagai sebuah pasukan.

Katanya, struktur dan prosedur juga perlu dipermudah dan diselaras untuk membolehkan penjawat awam menjalin rangkaian sesama mereka dan dengan pihak lain.

"Di Malaysia, kerajaan memandang serius tentang perkara ini. Satu daripada pendekatan yang diambil bagi meruntuh tembok yang wujud antara organisasi kerajaan dan menyatukan mereka ialah Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS," katanya.

NBOS bertujuan menyalurkan program dan perkhidmatan berimpak tinggi, berkos rendah dan dilaksanakan dengan pantas kepada orang ramai. NBOS menganjurkan 'berfikir di luar kotak' dalam melaksanakan projek dan program bagi menangani isu yang mendepani ekonomi.

Muhyiddin berkata sehingga kini, lebih 60 inisiatif NBOS telah dilaksanakan dan memberi manfaat kepada rakyat.

"NBOS mengandungi idea mudah, tetapi apabila dilaksanakan secara kerjasama, boleh memecahkan silo dan membawa hasil serta impak berganda.

"Lebih 80 organisasi sektor awam melibatkan beberapa kementerian - daripada polis dan tentera hinggalah kepada wanita, belia dan pendidikan tinggi - bekerjasama untuk menggubal dan melaksanakan inisitif strategi Lautan Biru," katanya.

Beliau berkata antara inisiatif NBOS ialah Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), 1Malaysia for Youth (1M4U), 1Malaysia Family Care (1MFC) dan My Beautiful Neighbourhood (MyBN).

"Saya rasa adalah bermanfaat sekiranya Capam dapat menghimpunkan lebih banyak pengalaman tentang bagaimana organisasi sektor awam mampu mengatasi mentaliti silo ini dan mengadakan kerjasama merentasi sempadan untuk membawa kesan besar kepada rakyat," katanya.

Presiden Capam yang baru dipilih dan Ketua Setiausaha Negara Malaysia Tan Sri Dr Ali Hamsa; presiden Capam sebelum ini Paul Zahra; Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Capam Gay Hamilton; Timbalan Perdana Menteri, Namibia Marco M Hausiku dan beberapa menteri serta ketua perkhidmatan awam dari negara Komanwel menghadiri majlis itu.


Artikel Lain