suria

Virus Ebola: KKM Ambil Langkah Lebih Berjaga-Jaga

Dr Subramaniam melihat pakaian khas kakitangan kesihatan awam yang akan dipakai sekiranya berdepan dengan pesakit Ebola.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah lebih berjaga-jaga terhadap penularan virus Ebola yang boleh membawa maut.

Virus Ebola yang mula menyerang negara Afrika Barat kini sudah merentasi beberapa benua hingga ke Amerika Syarikat dan Sepanyol.

Pelancong-pelancong yang memasuki pintu masuk utama negara,  terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa di Selangor, Penang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu akan dipantau bagi mengenal pasti jika ada individu yang dijangkiti.

Pengimbas suhu badan bagi pemeriksaan saringan yang dipasang di beberapa buah lapangan terbang ketika wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang melanda pada tahun 2003  terus digunakan untuk membantu mengenal pasti sekiranya ada pelancong-pelancong mengalami demam panas secara tiba-tiba, yang merupakan tanda-tanda awal virus Ebola.

Bagi pelancong yang memasuki negara  menggunakan jalan darat dengan melalui sempadan Thailand dan Singapura, kenderaan mereka juga akan diperiksa malah pemantauan tambahan akan dibuat di Padang Besar, Perlis dan Rantau Panjang, Kelantan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, kakitangan kesihatan awam telah menjalankan latihan simulasi sebagai persediaan sekiranya virus Ebola sah menular di negara ini.

Jelas beliau, terdapat sembilan laporan palsu mengenai Ebola di Malaysia pada 15 Oktober lalu, namun kementerian tidak memandang ringan perkara itu.

"Banyak kes berlaku melibatkan individu dari Afrika Barat, terutamanya dari Nigeria," jelasnya kepada media ketika membentangkan perancangan persediaan pihak kementerian berdepan dengan Ebola ini.

Pada Selasa lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengeluarkan amaran bahawa kes Ebola ini boleh mencecah sehingga 10,000 sehari menjelang Disember ini, dan kini sebanyak 1,000 kes sehari di Afrika Barat.

Dr Subramaniam berkata, mana-mana pelancong yang mengalami demam panas akan disoal siasat sekiranya mereka pernah ke negara-negara yang berdepan dengan Ebola dalam tempoh tiga minggu sebelum tiba di sini.

"Jabatan Imigresen juga akan memeriksa dokumen perjalanan mereka.

"Jika mereka pernah berada di negara-negara berkenaan, mereka akan dikuarantin di lapangan terbang.

"Pegawai kesihatan kita akan menilai mereka dan tindakan akan diambil berdasarkan keadaan kesihatan mereka," jelas Dr Subramaniam.

Dr Subramanian memberi jaminan bahawa jumlah pegawai yang terlatih bagi mengendalikan kes ini mencukupi.

Katanya, rakyat Malaysia yang bekerja atau tinggal di negara yang dijangki Ebola ini perlu melaporkan kepada pihak imigresen sekiranya kembali ke tanah air.

Bagaimana pun beliau tidak pasti jumlah rakyat Malaysia yang berada di negara terbabit, namun percaya jumlah itu mencecah ratusan orang.

Manakala pihak WHO juga belum mengeluarkan cadangan sekatan ke negara-negara yang terbabit, kecuali jika terdapat kes individu yang dijangkiti atau ada berhubung dengan mangsa Ebola.

Artikel Sebelum

Artikel Lain