suria

MILAN: Tragedi berganda yang menimpa Malaysia Airlines (MAS) berikutan kehilangan pesawat MAS Penerbangan MH370 dan nahas pesawat MH17 serta pendirian Malaysia berhubung insiden tersebut adalah antara perkara yang dikongsi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pentas Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ke-10 di sini.

Najib juga berkesempatan merakamkan penghargaan kepada negara-negara yang memberi sokongan kepada Malaysia untuk menduduki kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) ketika membuat intervensi di ASEM selain menyentuh isu berkaitan kumpulan Negara Islam (IS).

Malaysia memperoleh 187 undi dari 192 negara anggota PBB bagi menduduki satu daripada kerusi tidak tetap UNSC itu.

Ketika melakukan intervensi pada sidang itu, Najib berkata Malaysia akan turut bersama-sama dengan negara-negara lain untuk mengambil tindakan yang difikirkan patut bagi memerangi IS.

"Saya juga sebut bahawa tindakan ketenteraan saja tidak boleh memberi penyelesaian yang tuntas, tetapi kita harus juga memahami dan memerangi ideologi kefahaman yang berkaitan dengan kumpulan ini.

"Kita mesti juga memaparkan pengertian Islam yang sebenarnya dan konsep kesederhanaan dipelopori Malaysia yang ada kaitan dengan prinsip perseimbangan," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir beliau di sini Jumaat bagi menghadiri ASEM dan mesyuarat berkaitan sebelum pulang ke tanah air.

Lebih 50 pemimpin dari Asia dan Eropah berhimpun di Itali untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEM selama dua hari bagi membincangkan isu penting dalam sidang bertemakan 'Perkongsian Bertanggungjawab bagi Pertumbuhan dan Keselamatan yang Mampan'.

Pada pemukiman pemimpin Asem pula, Najib berkata banyak isu dibincangkan secara terbuka antaranya berkaitan ancaman terrorisme, ekstremisme, IS serta perkara-perkara yang patut dilakukan negara-negara Eropah dan Asia mengenainya.

Isu di Ukraine dan isu pertikaian maritim di Laut China Selatan juga antara yang dibincangkan pada pemukiman itu, katanya.

Selain menghadiri mesyuarat dan forum berkaitan ASEM, Najib juga menghadiri beberapa siri pertemuan dan perjumpaan dua hala dengan pemimpin-pemimpin yang menghadiri ASEM antaranya dari Norway, Jerman, Slovenia, Sweden dan Hungary.

Katanya Perdana Menteri Hungary Viktor Orban dalam pertemuan mereka menawarkan biasiswa untuk kira-kira 40-50 pelajar Malaysia untuk belajar di negara itu selain memaklumkan akan membuka semula pejabat kedutaan di Kuala Lumpur awal tahun depan setelah ditutup seketika.

Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Slovenia Mirolav Cerar pula menjemput Najib untuk melakukan lawatan rasmi ke negara mereka.

UNSC, Asem, Najib, PM

Artikel Lain