suria

Kehadiran Malaysia Dalam UNSC Satu Kejayaan Besar - Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia menerima sokongan padu untuk menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) disifatkan sebagai kejayaan besar bagi negara, kata Presiden MCA,Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kejayaan itu adalah bukti bahawa usaha negara di arena antarabangsa telah mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada masyarakat antarabangsa.

"Dasar antarabangsa kita selalunya mengamalkan kesederhanaan dan kita berusaha untuk mencapai keamanan dunia," katanya dalam kenyataan lewat malam Jumaat.

Malaysia, katanya, akan berusaha menyelesaikan pelbagai konflik melalui konsensus dan akan berusaha membendung pelampau agama dan etnik.

Liow berkata sebagai sebuah negara pebagai budaya yang mengamalkan toleransi, Malaysia berjaya menghasilkan kepelbagaian untuk kelebihan sendiri.

"Kita juga perlu menunjukkan bahawa kejayaan kita adalah disebabkan oleh bangsa kita yang enggan mengiktiraf sebarang bentuk ekstremisme agama dan kaum yang mungkin menjejaskan keharmonian negara," katanya.

Memandangkan Malaysia kini menjadi sebahagian daripada Majlis Keselamatan,Liow berkata negara perlu memainkan peranan lebih aktif di persada antarabangsa.

Malaysia berjaya mendapat 187 undi daripada 192 negara anggota PBB bagi mengisi lima slot anggota tidak tetap UNSC. Selain, Malaysia, Angola, Venezuela, New Zealand dan Sepanyol turut terpilih untuk mengisi kekosongan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain