suria

RMK-11: Kerajaan Laksana Program Tingkatkan Peranan Kerajaan Tempatan

Muhyiddin bersalaman bersama ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) ketika hadir pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Jubli Emas di Stadium Titiwangsa di sini, Jumaat malam.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan pelbagai program melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dalam usaha menempatkan kerajaan tempatan yang mesra alam serta pembangunan dan pengurusan berlandaskan masa depan.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu turut bertindak mewujudkan persekitaran yang mapan bagi mengurangkan kesan bencana alam dan kemusnahan alam sekitar.

Katanya hasrat kerajaan melalui strategi yang digubal adalah untuk mencapai teras pembangunan bagi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata terdapat juga sasaran dalam RMK-10 yang belum dicapai berikutan keupayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakannya amat terbatas disebabkan kekurangan tenaga atau peruntukan.

"Dalam tempoh RMK-11, isu-isu ini akan dikaji dan diperincikan terutamanya demi memperkasakan mutu penyampaian yang berkesan," katanya pada majlis makan malam bersempena Sambutan Jubli Emas Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) di sini, Jumaat malam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden ANULAE merangkap Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Muhyiddin berkata, penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dalam kawasan PBT adalah inisiatif kerajaan bagi melaksanakan transformasi sosial pengurusan bandar memandangkan hampir 70 peratus penduduk Malaysia masa kini tinggal di bandar.

Kewujudan JPP itu setelah meneliti penglibatan penduduk bandar yang bersifat 'ad-hoc', tidak teratur seperti di luar bandar yang mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sedar banyak fungsi kerajaan Persekutuan pada peringkat tempatan serta isu perbandaran seperti kesihatan, pengangkutan, keselamatan awam, perumahan, pendidikan, alam sekitar, kepenggunaan, pengurusan strata, penyenggaraan rumah kos rendah, tidak ditangani dengan menyeluruh, segera dan sempurna.

"Dengan penubuhan JPP ini, pihak kerajaan akan mempunyai lebih banyak ruang dan peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk dan membawa isu untuk ditangani secara bersama," katanya.

Muhyiddin turut memberi jaminan supaya Ahli Majlis PBT tidak berasa tergugat dengan penubuhan JPP kerana selain kedudukan mereka terpelihara dalam Akta 171, penubuhan JPP akan mengukuhkan kesepaduan penduduk.

Berkaitan usaha meningkatkan keberkesanan PBT, Muhyiddin berkata kerajaan telah melaksanakan Sistem Penggredan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan bertujuan mengemas kini ciri-ciri PBT berprestasi tinggi.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain