suria

Isu Tambang Bas Ekspres: Pembawa Mohon Campur Tangan Perdana Menteri

Tiada perkembangan terbaharu mengenai kenaikan tambang bas ekspres memaksa syarikat pengusaha bas untuk menyerahkan memorandum kepada perdana menteri untuk campur tangan dalam isu tersebut.

PETALING JAYA: Pengusaha syarikat bas ekspres menggesa perdana menteri campur tangan dalam isu kenaikan tambang yang berlarutan sejak 2008 supaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin dan memberi nafas baru kepada mereka.

Seiring dengan gesaan itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa), Tajuddin Mohd Yunus yang mewakili sebanyak 17 syarikat bas ekspres Melayu akan menyerahkan memorandum khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang Jumaat ini.

Tajuddin berkata, memorandum itu terpaksa disampaikan sendiri kepada perdana menteri kerana ia dilihat sebagai jalan terakhir dalam menyelesaikan kemelut ini.

"Isu ini semakin berpanjangan... sudah enam tahun tapi tiada sebarang kenaikan. Kita harap pertemuan pada esok sedikit sebanyak dapat melegakan hati semua pengusaha bas ekspres yang semakin tertekan (mengenai isu ini)," katanya kepada mStar Online.

Jelas Tajuddin, keputusan untuk menyerahkan memorandum itu dicapai dalam mesyuarat ahli jawatankuasa Pembawa pada 3 Oktober lalu selepas tiada sebarang perkembangan terbaharu mengenai kenaikan tambang bas ekspres sehingga hari ini.

"Kita sebulat suara bersetuju memohon jasa baik perdana menteri untuk mempertimbangkan permohonan agar tambang bas ekspres dinaikkan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan permohonan tersebut selepas mengambil kira beberapa faktor yang dihadapi syarikat pengusaha bas seperti peningkatan kos operasi, alat ganti bas, insurans dan pengurangan subsidi diesel.

"Kita bukan ingin memberikan tekanan kepada rakyat tetapi kenaikan ini perlu dipertimbangkan agar syarikat pengusaha bas dapat memberi perkhidmatan pengangkutan yang lebih baik dan sistematik di negara ini," katanya.

Menurut beliau, cadangan kenaikan sebanyak 20 peratus setiap lima tahun sekali adalah wajar dipertimbangkan selepas kali terakhir kadar tambang bas ekspres disemak enam tahun lalu.

"Kita hanya mahu kenaikan setiap lima tahun, bukannya setiap tahun. Ia wajar memandangkan kita perlu menanggung kenaikan kos operasi sebanyak 30 hingga 40 peratus sehingga hari ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, beliau juga akan menulis surat kepada perdana menteri untuk memohon agar satu pertemuan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu tersebut.

"Oleh kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak boleh buat apa-apa mengenainya, kita akan tulis surat memohon untuk bertemu dengan perdana menteri supaya isu ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Jelas Mohamad Ashfar, beliau terpaksa bertindak sedemikian selepas tiga surat permohonan mengenai kadar baharu tambang ekspres supaya disemak semula kepada SPAD bertarikh 25 Mei 2013, 16 Jun dan 12 September lalu tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

"Tiga surat mengenai perkara itu tidak mendapat maklum balas daripada SPAD sehingga hari ini. Kami tiada jalan lain melainkan memohon mengadakan pertemuan dengan perdana menteri," katanya.

Terdahulu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, keputusan kenaikan tambang bas ekspres perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada kerajaan walaupun badan itu sudah mempertimbangkan permohonan syarikat berkenaan.

"Kita tak boleh bertindak sesuka hati... kita dibawah Jabatan Perdana Menteri. Kita sudah bentangkan (mengenai cadangan itu) tetapi terpulang kepada kerajaan untuk buat keputusan," katanya.

Syed Hamid berkata, SPAD merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan dibawah akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan diletakkan dibawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri.



tambang, bas ekspres, Pembawa

Artikel Lain