suria

GST: Tanda Harga Khas Perlu Seragam, Mesra Pengguna, Peniaga

PETALING JAYA: Pemain industri secara umumnya mencapai kata sepakat untuk melaksanakan tanda harga khas bagi setiap barangan yang tidak dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, kerajaan diminta mencari mekanisme terbaik untuk melaksanakannya supaya kemudahan buat pengguna itu turut memudahkan peniaga dan pemain industri berkaitan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman yang mencadangkan perkara berkenaan berkata, langkah kerajaan itu bertepatan dalam memastikan cukai baharu yang akan dikuatkuasakan pada 1 April tahun depan dapat dilaksanakan dengan baik.

Beliau berkata, penggunaan tanda harga khas itu akan memberi lebih kefahaman kepada pengguna mengenai barangan yang dikenakan atau tidak oleh GST.

“Diharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan supaya tanda harga khas itu bukan sahaja melibatkan barangan dikecualikan GST malah yang dikenakan cukai kadar sifar bagi membezakan dengan yang dikenakan GST,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad memberitahu mStar Online bahawa kementerian itu menyambut cadangan tanda harga khas itu bagi mendidik pengguna mengenai pelaksanaan GST.

Bagaimanapun Alias berkata, perkara tersebut masih dalam pertimbangan yang perlu diteliti menerusi beberapa perbincangan dan maklum balas serta mendapat persetujuan semua pihak sebelum ia diputuskan.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Hal Ehwal Korporat Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco), Azlam Shah Alias berkata, penggunaan tanda harga khas itu boleh dilaksanakan kerana barangan harga kawalan pada setiap musim perayaan yang ditetapkan kerajaan menggunakan label berbeza.

Bagaimanapun katanya, notis lebih awal perlu diberikan kepada peniaga terlibat supaya persiapan boleh dilakukan untuk memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

“Kerajaan juga perlu selaraskan tanda harga khas yang sama digunakan di semua premis dari segi grafik, warna dan penggunaan perkataan supaya pengguna dapat mudah untuk mengenal pasti barangan yang tidak dikenakan GST itu,” katanya.

Mengenai keseragaman itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, kerajaan perlu membuat satu ketetapan secara rasmi supaya ia diguna pakai oleh semua pihak.

“Barangkali, ia buat dilakukan menerusi pewartaan mengenai tanda harga khas barangan tidak dikenakan GST di bawah akta sedia ada.

“Kita tidak mahu nanti ada peniaga yang tidak laksanakannya dan ada peniaga yang juga memanipulasi pengguna berdasarkan pelaksanaan tanda harga khas itu,” katanya yang merujuk kepada Akta Perihal Dagangan 2011 dari segi pelabelan barangan.

Bagaimanapun, bagi Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin, walaupun penggunaan tanda harga khas itu dianggap cadangan yang baik tetapi ia mungkin memberi kesan terutama kepada peniaga kecil.

Beliau berkata, peniaga kecil menggunakan mesin yang sama untuk melabelkan tanda harga bagi semua barangan termasuk yang tidak akan dikenakan GST.

“Pelaksanaan ini mungkin membabitkan kos tambahan, malahan pengurusan juga akan menjadi lebih rumit sekiranya sebahagian besar barangan yang dijual perlu dilabelkan dengan tanda harga secara berasingan,” tambah Ameer.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya kerajaan dan pemain industri bekerjasama untuk mempertingkatkan kesedaran awam mengenai barangan yang tidak dikenakan GST.

“Mungkin sekarang pengguna kurang faham, tetapi ini sementara sahaja. Lama-lama nanti mereka akan faham juga sekiranya semua pihak dapat membantu untuk memberi kesedaran terhadap pengguna terutama bagi barangan yang tidak dikenakan GST.

“Senarai barangan berkaitan GST yang diwartakan telah pun dikeluarkan. Kerajaan hanya perlu mempermudahkan lagi senarai itu bagi orang awam mendapatkan kefahaman dengan lebih jelas,” kata Ameer.

Artikel Lain