suria

Kenyataan Hasutan: Polis Siasat Menteri Dalam Negeri

Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu mengesahkan beliau disiasat polis kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan.


Menurut menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal keselamatan itu, beliau  memberi kenyataan kepada polis pada Isnin lepas, berhubung laporan polis yang dibuat DAP terhadapnya baru-baru ini.

"Saya telah berikan rakaman audio, visual dan juga transkrip ucapan saya dua hari lepas.

"Saya beri kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk melakukan siasatan kepada menteri yang jaga hal ehwal polis," katanya secara berseloroh ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen, di sini.

DAP Perak sebelum ini membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid berhubung dakwaan kononnya beliau membuat kenyataan berunsur hasutan dalam ucapannya semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, pada 22 September lepas, berkaitan demonstrasi di Kuala Kangsar semasa krisis perlembagaan Perak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada minggu lepas dilaporkan menolak dakwaan bahawa polis mengamalkan 'double standard' berhubung siasatan di bawah Akta Hasutan dan polis juga akan merakam kenyataan Menteri Dalam Negeri itu.

 

Artikel Sebelum

Artikel Lain