suria

TH Ikrar Tambah Baik Khidmat Untuk Jemaah Haji

REMBAU: Lembaga Tabung Haji (TH) akan terus menambah baik kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada jemaah Malaysia pada musim haji akan datang.


Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, TH akan melakukan post-mortem perkhidmatan mereka berdasarkan musim haji baru-baru ini.

"Kita akan berbincang dengan kerajaan Arab Saudi dan pihak muassasah pada penghujung tahun ini untuk menambah baik lagi perkhidmatan untuk jemaah Malaysia pada musim haji akan datang.

"Setakat ini dari segi (pengurusan dan penyediaan) khemah, kita amat berpuas hati. Mungkin dari segi aspek kebersihan seperti bilik air dan aliran air paip, yang kita akan tambah baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga jemaah haji, Allahyarham Normah Jamin, 56, yang meninggal dunia, Sabtu lepas.

Menurutnya, 16 jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat penyakit yang dihidapi mereka seperti penyakit jantung, jangkitan paru-paru dan kanser, dan bukan disebabkan penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Koronavirus Timur Tengah (MERS-CoV) dan Ebola.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, TH akan terus membuat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi melalui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menambah bilangan kuota haji Malaysia.

"Kita berharap Kerajaan Arab Saudi akan menambah bilangan kuota haji untuk Malaysia dengan memberi semula jumlah kuota yang telah dipotong kerana memberi laluan kepada pembangunan dan pembesaran kawasan Masjidil Haram di Makkah," katanya.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi memberi kuota 0.1 peratus daripada jumlah populasi kepada semua anggota negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk Malaysia.

Sejak 2009, kerajaan Arab Saudi memperuntukkan 27,900 tempat setahun bagi jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji namun dikurangkan sebanyak 20 peratus kepada 22,320 sejak tahun lepas berikutan kerja-kerja pembangunan di Masjidil Haram.

Artikel Lain