suria

Kelemahan Pengurusan PKK Bukan Kerana Rasuah

Perkhidmatan syarikat kawalan keselamatan digunakan untuk menjamin keselamatan pelajar. Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Kelemahan Kementerian Pendidikan berkaitan isu pengurusan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) di institusi pendidikan tidak membabitkan unsur rasuah.


Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati kelemahan kementerian itu seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 hanya membabitkan isu pentadbiran serta penganugerahan tender kontrak.

"Kita dapati tiada unsur rasuah dalam pengurusan kawalan keselamatan. Cuma jumlah tender yang besar dan kelonggaran daripada segi kontrak yang dikhuatiri mungkin boleh berlaku insiden rasuah.

"Sebab itu kita minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat. Itu pun sebenarnya berdasarkan laporan akhbar yang menyatakan bahawa ada syarikat kontraktor keselamatan sekolah yang membuat dakwaan bahawa ada amalan rasuah," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Terdahulu PAC membentangkan laporan siasatan berhubung pengurusan PKK di institusi pendidikan dan sekolah di Dewan Rakyat.

Laporan berkenaan turut diedarkan kepada media.

Selain itu, Nur Jazlan berkata, PAC turut mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya melakukan audit dalaman hujung tahun ini bagi memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menerusi syor PAC, kementerian itu turut disaran supaya tender kawalan keselamatan dilaksanakan secara pra-kelayakan iaitu hanya syarikat yang benar-benar mempunyai keupayaan dan pengalaman dijemput untuk mengambil bahagian dalam tender.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendapati kementerian tersebut hanya membelanjakan RM2.052 bilion daripada RM3.689 bilion yang diperuntukkan tetapi pengurusan kontrak tidak teratur di tiga buah negeri.

Kementerian telah mendapatkan perkhidmatan kawalan keselamatan syarikat swasta bagi melaksanakan PKK tanpa senjata api di 35 premis institusi pendidikan.

Ini bagi membekalkan keselamatan yang mencukupi, mewujudkan persekitaran sekolah yang tenteram serta mendapatkan suasana pembelajaran yang kondusif.

Namun, dari Jun 2012 hingga September 2012, sembilan syarikat lewat menyerahkan Bon Pelaksanaan (BP) dan kontrak ditandatangani walaupun BP belum diterima.

Sementara itu, sebanyak 74 peratus sekolah yang melibatkan 18 syarikat gagal mengemukakan maklumat pengawal kepada pihak Audit.

Laporan mendapati tujuh peratus pengawal melebihi had umur yang dibenarkan, enam peratus tidak mengemukakan laporan kesihatan dan 59 peratus tidak mengemukakan pengesahan mereka bebas daripada rekod jenayah.


Artikel Lain