suria

Kejayaan Dasar Bahasa Kebangsaan Perlu Penglibatan Semua Kaum - Muhyiddin

Muhyiddin hadir ke pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu seluruh masyarakat supaya sama-sama menjayakan Dasar Bahasa Kebangsaan bagi mamastikan hasrat kerajaan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan tercapai.


"Tahun demi tahun saya perhatikan bahawa nilai bahasa kebangsaan berbeza-beza pada golongan tertentu sehingga hasrat kita (kerajaan) untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan belum benar-benar berjaya." kata timbalan perdana menteri.

Beliau berkata keadaan itu berlaku disebabkan ada perbezaan nilai bahasa kebangsaan antara golongan tertentu.

"Justeru itu, saya menyeru semua warganegara tanpa mengira asal keturunan supaya memberi nilai yang tinggi kepada bahasa kebangsaan dan bersama-sama memajukan bahasa dan persuratan kebangsaan," katanya ketika berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.

Hadir sama ialah Penasihat Sosiobudaya kepada kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan.

Bagi memastikan bahasa kebangsaan benar-benar menjadi milik seluruh warganegara, Muhyiddin menyarankan supaya sinergi DBP dengan pelbagai persatuan dan institusi pelbagai keturunan terus ditingkatkan, sekaligus menyumbang kepada pemerkasaan bahasa.

Timbalan perdana menteri turut menarik perhatian bahawa penggunaan bahasa kebangsaan di kementerian-kementerian dan kerajaan negeri juga perlu terus dipertingkatkan, khususnya dalam aspek mutu bahasa.

Muhyiddin berkata walaupun secara umum penggunaannya adalah meluas, namun laporan awal Program Audit Bahasa Melayu yang dijalankan DBP sejak tahun lepas menyimpulkan penggunaannya dalam urusan rasmi masih perlu ditingkatkan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan penggunaan nama tidak bersifat kebangsaan bagi taman perumahan, gedung perniagaan atau institusi dalam konteks pembinaan citra kebangsaan.

Untuk itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lebih bersungguh-sungguh menguatkuasakan Undang-undang Kecil Pengiklanan yang antara lain mewajibkan keutamaan bahasa kebangsaan pada iklan, nama perniagaan, nama tempat, nama bangunan dan paparan yang lain, katanya.

Muhyiddin berkata, saranan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Negara bagi Kerajaan Tempatan pada 4 Mac lepas yang memutuskan sesuatu paparan di tempat awam, baik oleh pihak swasta atau agensi kerajaan, hendaklah mendapat pengesahan dan sijil kelulusan daripada DBP terlebih dahulu, khasnya dalam aspek bahasa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cabaran untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang mewakili ilmu dan pemikiran menjadi semakin sukar dengan kewujudan media baharu yang cenderung untuk bebas daripada norma adab, akhlak dan bentuk bahasa yang tidak terkawal.

Selain memupuk budaya berbahasa yang santun, media juga perlu memainkan peranan sebagai agen masyarakat atau sosialisasi melalui penggunaan bahasa yang bermutu dan teratur.

Menyentuh peranan utama bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata kerajaan telah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), yang antara lain menekankan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penyampaian dalam pengajaran.

Beliau berkata, dalam memastikan bahasa kebangsaan dikuasai dengan baik dan setara antara pelajar Melayu dan bukan Melayu, penyelarasan sukatan pelajaran dan bahan pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu bagi sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan telah dimulakan.

"Untuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kerajaan telah melancarkan Pelan Memperkasa Bahasa Kebangsaan di IPT pada 2011, di mana audit dari segi peratusan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai pengantar kuliah dilakukan Kementerin Pendidikan, DBP dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bagi memastikan semua IPT memperkasa bahasa kebangsaan seperti yang digariskan dalam PPPM," katanya.


Artikel Berikut

Artikel Lain