suria

Identiti Dua Penjenayah Elak Sekatan Polis Dikenal Pasti

Kenderaan yang dinaiki dua lelaki dipercayai penjenayah remuk teruk dan terbakar selepas merempuh sebuah jengkaut ketika cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya polis di Jalan Syed Abdul Aziz dekat Limbongan di Melaka, Ahad lalu. - fotoBERNAMA
MELAKA: Polis telah mengenal pasti identiti dua penjenayah yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya polis sehingga mengakibatkan seorang daripadanya maut di Jalan Syed Abdul Aziz dekat Limbongan di sini Ahad.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata penjenayah yang maut itu berasal dari Lorong Pandan di sini dan mempunyai lapan rekod jenayah melibatkan dadah dan curi sejak tahun 1995.

Beliau berkata lelaki berumur 41 tahun itu yang juga penumpang kereta dalam insiden itu merupakan bekas tahanan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) berhubung kes dadah.

Katanya suspek kedua berusia 23 tahun yang juga pemandu kereta itu berasal dari Pantai Peringgit di sini dan mempunyai dua rekod jenayah melibatkan pecah rumah di Pandamaran, Klang, Selangor dan curi di Bandar Baharu, Kedah pada 2004.

"Kita masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini daripada semua aspek," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang Ahad, kereta dinaiki dua penjenayah itu yang cuba melarikan diri dengan memecut ke arah Limbongan telah terbabas dan merempuh sebuah jentolak yang sedang menjalankan kerja pembesaran jalan dan parit di kiri jalan.
 
Seorang daripada penjenayah itu maut akibat tersepit dalam kereta dan seorang lagi cedera parah dan kini dirawat di Hospital Melaka.

Seorang anggota polis yang menaiki motosikal peronda turut cedera dalam insiden itu dan turut dirawat di hospital sama.

Polis menemukan beberapa bungkusan serbuk putih dipercayai dadah dan beberapa peralatan seperti kapak, parang, pemutar skru dan pemotong kabel disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah dalam kereta itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain